KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah pada Jumaat berikutan ketiadaan petunjuk baharu apabila pulangan dana asing semakin berkurangan susulan prestasi Wall Street yang lemah dalam tempoh semalaman, kata peniaga.

Pada 9.08 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.84 mata kepada 1,439.76 daripada 1,440.60 ketika ditutup pada Khamis.

Indeks penanda aras itu dibuka 0.11 mata lebih tinggi kepada 1,440.71.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 140 berbanding 103, manakala 204 kaunter tidak berubah, 1,945 kaunter tidak diniagakan dan 24 digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 200.82 juta unit bernilai RM56.80 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata Purata Perindustrian Dow Jones mencapai 0.76 peratus manakala Komposit Nasdaq turun 1.76 peratus walaupun hasil 10 tahun Amerika Syarikat (AS) susut kepada 4.849 peratus.

"Bagaimanapun, kami percaya pempelbagaian dana akan berterusan di bursa tempatan dan kami menjangkakan pasaran pesat membangun akan mendapat manfaat pada masa hadapan," katanya kepada Bernama.

Thong berkata bagi hari ini, beliau menjangkakan indeks FBM KLCI berada dalam aliran berjulat 1,435 hingga 1,445.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank dan Petronas Chemicals masing-masing mendatar pada RM9.00 dan RM7.20; Public Bank dan Tenaga Nasional masing-masing susut satu sen kepada RM4.16 dan RM9.88 manakala CIMB turun tiga sen kepada RM5.65.

Antara saham aktif, CSH Alliance dan Leform masing-masing menokok setengah sen kepada 6.5 sen dan 25 sen; Tanco dan Meta Bright masing-masing tidak berubah 57.5 sen dan 26 sen, dan MMAG menambah satu sen kepada 11 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 9.04 mata kepada 10,622.66; Indeks FBMT 100 kurang 8.10 mata kepada 10,296.19 dan Indeks FBM Emas Syariah kurang 2.44 mata kepada 10,840.98.

Indeks FBM 70 susut 20.01 mata kepada 14,002.66 dan Indeks FBM ACE turun 12.21 mata kepada 5,037.38.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.01 mata kepada 171.85,Indeks Perkhidmatan Kewangan menguncup 24.28 mata kepada 16,218.51 dan Indeks Tenaga kurang 2.43 mata kepada 868.23.

Indeks Perladangan meningkat 8.54 mata kepada 6,884.02.

-- BERNAMA