KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan peningkatan semalam apabila dibuka tinggi pada Jumaat, didorong oleh aktiviti belian semasa harga rendah dan prestasi Wall Street yang optimis dalam tempoh semalaman.

Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.01 mata kepada 1,542.42 daripada 1,541.41 semasa ditutup pada Khamis.

Indeks penanda aras itu dibuka meningkat 0.15 mata kepada 1,541.56.

Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 251 berbanding 187 manakala 328 kaunter tidak berubah, 1,569 tidak diniagakan dan 18 lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 358.46 juta unit bernilai RM155.56 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI meningkat semula pada Khamis berikutan aktiviti belian semasa harga rendah yang berlaku disebabkan jualan besar-besaran.

"Kami yakin pembelian saham tempatan akan diteruskan berikutan maklumat Rizab Persekutuan (Fed) AS mengenai kadar faedah, yang telah mengukuhkan sentimen pelabur.

"Bursa tempatan mejejaki kecemerlangan di Wall Street, dengan tiga indeks utama mencapai paras penutup baharu tertinggi," katanya kepada Bernama.

Semalam, bank pusat AS mengulangi ramalan tiga pengurangan kadar pada tahun ini.

"Oleh itu, kami menjangkakan indeks penanda aras akan berada dalam julat 1,540-1,550 hari ini," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik satu sen kepada RM9.56 manakala Public Bank, CIMB, Tenaga Nasional dan Petronas Chemicals semuanya tidak berubah, masing-masing pada RM4.22, RM6.55, RM11.54 dan RM6.87.

Bagi saham aktif, Alpha IVF yang mula disenaraikan di pasaran ACE susut setengah sen kepada 31.5 sen, Sarawak Cable menokok tiga sen kepada 19 sen dan Avaland meningkat 1.5 sen kepada 36 sen. Xin Hwa dan Iconic pula masing-masing meningkat satu sen kepada 25.5 sen dan sembilan sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 7.86 mata kepada 11,544.35 dan Indeks FBMT 100 mengukuh 7.71 mata kepada 11,193.61 manakala Indeks FBM Syariah naik 9.25 mata kepada 11,641.55.

Indeks FBM 70 menokok 12.47 mata kepada 15,911.15 dan Indeks FBM ACE meningkat 29.55 mata kepada 4,864.88

Mengikut sektor, Indeks Perladangan susut 0.23 mata kepada 7,352.44, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.16 mata kepada 178.86 dan Indeks Tenaga turun 2.63 mata kepada 931.98

Bagaimanapun, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 10.25 mata kepada 17,153.93.

-- BERNAMA