Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.57 mata kepada 1,640.19 daripada 1,635.62 ketika ditutup pada Selasa.
Indeks penanda aras itu dibuka 2.04 mata lebih tinggi kepada 1,637.66.
Lingkungan pasaran adalah positif, dengan 209 kaunter untung mengatasi 128 kaunter rugi, manakala 247 kaunter kekal tidak berubah, 1,840 kaunter tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.
Jumlah dagangan 206.58 juta unit bernilai RM99.54 juta.
Malacca Securities Sdn Bhd menjelaskan pelabur akan meneliti minit mesyuarat, serta Indeks Harga Pengguna dan Indeks Harga Pengeluar, untuk menilai hala tuju dasar monetari Rizab Persekutuan.
"Dalam pasaran komoditi, minyak mentah Brent mengalami penjualan, susut di bawah US$78, manakala emas menjejaki semula ke paras US$2,600," tambahnya dalam nota penyelidikan.
Firma pembrokeran itu yakin pemulihan minyak mentah baru-baru ini dan aliran meningkat berterusan dalam minyak sawit mentah akan menyokong sektor seperti minyak dan gas dan perladangan.
"Menjelang Belanjawan 2025, peniaga juga mungkin menumpukan kepada sektor seperti e-invois, pembinaan, hartanah, bahan binaan, utiliti dan saham berkaitan pengguna," katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menokok dua sen kepada RM10.50, CIMB naik empat sen kepada RM8.00, Tenaga Nasional melonjak 14 sen kepada RM14.32, Public Bank kekal tidak berubah pada RM4.57, dan IHH Healthcare susut empat sen kepada RM7.21.
Bagi kaunter aktif, Pertama Digital susut 15.5 sen kepada 33 sen, Velocity Capital kurang setengah sen kepada 5.5 sen, manakala Crest Group menokok 2.5 sen kepada 37.5 sen, 99 Speed Mart naik enam sen kepada RM2.52, dan KHPT kekal tidak berubah pada 21.5 sen.
Di papan indeks, indeks FBM Emas meningkat 37.72 mata kepada 12,306.59, indeks FBM Emas Syariah menambah 47.46 mata kepada 12,229.38, Indeks FBMT 100 menokok 39.99 mata kepada 12,002.76, Indeks FBM 70 naik 82.77 mata kepada 17,537.67 manakala Indeks FBM ACE susut 10.22 mata kepada 5,142.44.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 49.36 mata kepada 19,251.70, Indeks Perladangan naik 15.37 mata kepada 7,228.99 serta Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.09 mata kepada 177.71, manakala Indeks Tenaga turun 8.96 mata kepada 886.82.
-- BERNAMA