KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka bercampur-campur hari ini di tengah-tengah prestasi semalaman Wall Street yang lebih kukuh, kata seorang peniaga.

Pada 9.12 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.80 mata kepada 1,433.37 daripada 1,435.17 penutup Selasa.

Indeks utama dibuka 0.42 mata lebih rendah pada paras 1,434.75.

Bagaimanapun, di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung 187 berbalas 117, manakala 257 kaunter tidak berubah, 1,781 tidak diniagakan dan 10 digantung.

Jumlah dagangan 265.52 juta unit bernilai RM99.78 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata, Wall Street mengakhiri sesi dagangan semalaman lebih tinggi apabila peniaga kembali sebagai pembeli, didorong oleh penurunan hasil 10 tahun Amerika Syarikat.

"Purata Perindustrian Dow Jones memperoleh 135 mata semalaman manakala Nasdaq menambah 79 mata apabila hasil 10 tahun AS susut kepada 4.657 peratus.

"Di Hong Kong, Indeks Hang Seng ditutup 147 mata lebih tinggi, dirangsang oleh aliran masuk dana dari tanah besar China dan ulasan terkini bahawa Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat berpotensi menangguhkan pelarasan kadarnya pada November," katanya kepada Bernama.

Di dalam negara, beliau menjangkakan pembelian di kaunter perbankan akan berterusan, berserta saham telekomunikasi selepas kegiatan pengambilan untung yang kukuh bulan lalu.

"Justeru, indeks utama diunjur berlegar dalam julat 1,435-1,445 hari ini memandangkan sentimen yang bertambah baik," tambahnya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Tenaga Nasional meningkat dua sen kepada RM9.99, manakala Petronas Chemicals susut empat sen menjadi RM7.26, and Maybank, Public Bank dan CIMB pula masing-masing turun satu sen untuk mencatatkan harga RM8.88, RM4.12 dan RM5.54.

Bagi saham aktif, KNM Group menambah setengah sen kepada 12.5 sen, Aco Group naik empat sen kepada 27 sen dan UEM Sunrise menokok satu sen menjadi 88 sen, manakala Sapura Energy dan Kinergy Advancement masing-masing tidak berubah pada lima sen dan 33 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 5.37 mata kepada 10,623.91, Indeks FBMT 100 turun 7.04 mata menjadi 10,287.50 dan Indeks FBM Emas Syariah lemah 1.04 mata kepada 10,886.28.

Indeks FBM ACE menguncup 33.68 mata kepada 5,159.83, manakala Indeks FBM 70 meningkat 15.73 mata kepada 14,152.27.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 17.20 mata kepada 16,092.48, Indeks Tenaga turun 1.07 mata menjadi 873.79 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian lemah 0.16 mata kepada 172.67 manakala Indeks Perladangan peroleh 1.16 mata kepada 6,899.94.

-- BERNAMA