KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka mengalami aliran mendatar dengan kecenderungan sedikit positif kepada julat 1,470 hingga 1,490 minggu depan selepas data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2022 yang kukuh dikeluarkan pada Jumaat, kata peniaga.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata angka KDNK yang positif akan melonjakkan keyakinan pelabur dan meningkatkan harga saham memandangkan ia boleh membawa kepada keuntungan korporat dan perbelanjaan pengguna yang lebih tinggi.

"Selain itu, pelabur perlu kekal berhati-hati terhadap faktor luaran seperti inflasi yang tinggi di blok barat dan turun naik ekuiti global yang semakin ketara," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata secara teknikal, sokongan serta-merta berada pada paras 1,460 manakala rintangan pada 1,500.

Penganalisis Kanan Malacca Securities Sdn Bhd, Kenneth Leong juga senada dengan Thong dan berkata tumpuan utama akan terarah kepada laporan prestasi kewangan oleh sebilangan korporat mulai minggu depan hingga akhir bulan ini.

Di peringkat global, pelabur juga akan memantau beberapa data ekonomi utama Amerika Syarikat (AS) seperti kadar inflasi yang akan dikeluarkan pada 14 Feb serta jualan runcit dan pengeluaran perindustrian pada 15 Feb.

"Secara teknikal, kami terus menjangkakan 1,500 sebagai paras rintangan utama pada FBM KLCI manakala sokongan dijangka pada 1,460," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata wujud unsur penghindaran risiko yang mempengaruhi pasaran global berikutan prospek Rizab Persekutuan yang cenderung kepada kadar faedah lebih tinggi.

Beliau berkata tanpa mengambil kira data Indeks Harga Pengguna AS minggu depan, melainkan jika inflasi susut dengan ketara di bawah jangkaan, pasaran global akan terus sedia mempertimbangkan risiko kemelesetan.

Justeru faktor luaran akan kelihatan tidak menggalakkan, katanya.

"Ramai pelabur tempatan berpandangan pemulihan penggunaan isi rumah China tahun ini mungkin lebih perlahan berbanding jangkaan, susulan kesan pengurangan leveraj hartanah dan kawalan COVID-19 selama tiga tahun.

"Oleh itu, saya berpandangan Bursa Malaysia akan mengalami dagangan yang amat bersifat defensif minggu depan berikutan banyak kemungkinan ringgit lemah dan kebimbangan mengenai kemelesetan AS yang semakin meningkat," katanya.

Pada asas minggu ke minggu, indeks utama susut 15.88 mata kepada 1,474.59 pada Jumaat daripada 1,490.47 pada minggu lepas.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 146.31 mata kepada 10,740.04; Indeks FBMT 100 kurang 142.16 mata kepada 10,405.73; Indeks FBM Emas Syariah menguncup 165.86 mata kepada 11,046.41; Indeks FBM 70 merosot 315.01 mata kepada 13,569.98 dan Indeks FBM ACE susut 99.23 mata kepada 5,744.00.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan turun 40.59 mata kepada 6,886.65; Indeks Tenaga kurang 9.74 mata kepada 896.37; Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 201.45 mata kepada 16,1113.37 serta Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menguncup 1.60 mata kepada 190.15.

Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 16.84 bilion unit bernilai RM10.22 bilion daripada 18.10 bilion unit bernilai RM10.57 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 11.26 bilion saham bernilai RM8.53 bilion daripada 12.44 bilion saham bernilai RM8.78 bilion.

Jumlah dagangan waran pula meningkat kepada 1.40 bilion unit bernilai RM183.89 juta daripada 1.26 bilion unit bernilai RM217.46 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE sebanyak 4.17 bilion saham bernilai RM1.52 bilion berbanding 4.39 bilion saham bernilai RM1.57 bilion minggu lepas.

-- BERNAMA