Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini

Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Selasa, 4 November 2025.
ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Selasa, 4 November 2025.
Kerajaan bersetuju meningkatkan had kelayakan Program BUDI MADANI RON95 bagi pemandu e-hailing yang layak sehingga 800 liter sebulan, tertakluk syarat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mahkamah Tinggi Johor Bahru mengekalkan hukuman penjara 10 tahun ke atas peniaga yang menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isteri ketiganya, Jahidah Nordin, 47, sehingga koma, empat tahun lalu.
Polis mengklasifikasikan semula kes kematian pempengaruh wanita warga Taiwan di sebuah hotel di Kuala Lumpur 22 Okt lalu, sebagai kes bunuh. Difahamkan ketika kejadian, Namewee turut berada dalam bilik sama.
Ketua Bersatu Bahagian Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau Che’gu Bard dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen atas satu pertuduhan mengeluarkan kenyataan fitnah yang didakwa boleh menjejaskan nama baik Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan bahawa tiada perbincangan mengenai kemasukan semula bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin ke dalam parti itu seperti yang dilaporkan oleh media.
Skim kelayakan berperingkat di bawah program subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bagi pemandu e-panggilan akan diaktifkan pada pertengahan setiap bulan, menurut Kementerian Kewangan (MOF).
Pendengaran hujah kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai RM2.3 bilion yang melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi tamat pada Selasa selepas kedua-dua pihak selesai mengemukakan hujahan masing-masing.
Syarikat-syarikat besar yang meraih keuntungan yang tinggi diingatkan supaya tidak mengabaikan kebajikan pekerja bawahan termasuk petugas pembersihan terutamanya dalam soal pendidikan ahli keluarga mereka.
Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) hari ini menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyiasat dakwaan kegagalan pengesahan dokumen pengenalan dan pematuhan prosedur operasi standard dalam proses kewarganegaraan melibatkan tujuh pemain naturalisasi Malaysia yang dikaitkan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta siasatan oleh Persekutuan Bola sepak Antarabangsa (FIFA).
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim disambut dengan istiadat sambutan negara di Istana Al-Yamamah di sini hari ini sempena lawatan negara empat hari ke Arab Saudi yang bermula semalam.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


