KUALA LUMPUR: Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka diniagakan dalam jajaran ketat antara 1,510 mata dan 1,530 mata minggu depan berikutan keadaan tidak menentu yang semakin berkurangan susulan pengumuman pelantikan perdana menteri baharu, kata seorang penganalisis.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata trend kes harian COVID-19 akan banyak mempengaruhi pergerakan pasaran.

Pada Jumaat, kes harian COVID-19 Malaysia melepasi paras 23,000 buat pertama kalinya dengan 23,564 jangkitan, meningkat daripada 22,948 pada Khamis, meningkatkan jumlah keseluruhan jangkitan di negara ini kepada 1.51 juta setakat ini.

Adam berkata dari segi data domestik yang dikeluarkan, kadar inflasi Malaysia bagi Julai akan diumumkan pada Rabu minggu depan dan ia dijangka lemah kerana kesan asas rendah daripada tahun lepas makin mereda.

"Begitu juga, eksport Malaysia bagi Julai yang akan diumumkan pada Jumaat minggu depan, dijangka mencarta pertumbuhan tahun ke tahun, walaupun pada kadar perlahan, disebabkan oleh kesan asas rendah yang semakin mereda ditambah dengan peningkatan kawalan pergerakan di kawasan tertentu di Kuala Lumpur dan Selangor, yang menyebabkan penutupan kilang di kawasan terkesan pada separuh pertama Julai," katanya kepada Bernama.

Di peringkat antarabangsa, beliau berkata para pelabur menunggu untuk melihat hasil daripada Simposium Dasar Ekonomi tahunan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) antara 26-28 Ogos bagi mencari petunjuk bila Fed akan melaksanakan program pengurangan pembelian bonnya.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, Bursa Malaysia diniagakan dalam dagangan berhati-hati di tengah-tengah perkembangan politik dan kes tinggi COVID-19.

Indeks FBM KLCI naik 0.2 peratus untuk ditutup kepada 1,518 mata pada Jumaat, menongkah arus berbanding trend bursa Asia lain yang mencatatkan penurunan seperti Hong Kong, Jepun, Korea Selatan dan Filipina.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI meningkat 12.92 mata untuk ditutup minggu ini kepada 1,518.03 daripada 1,505.11 pada minggu sebelumnya.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 92.94 mata kepada 11,107.96, Indeks FBMT 100 meningkat 88.91 mata kepada 10,820.64 dan Indeks FBM Emas Shariah mengukuh 126.30 mata kepada 12,217.51.

FBM Ace naik 6.98 mata kepada 7,146.36 dan FBM 70 meningkat 107.54 mata kepada 14,598.85.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan melonjak 202.97 mata kepada 6,416.38, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 61.77 mata kepada 14,842.47 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.76 mata kepada 188.26.

Indeks Penjagaan Kesihatan meningkat 6.48 mata kepada 2,761.06, Indeks Tenaga susut 2.87 mata kepada 718.02 dan Indeks Teknologi turun 0.96 mata kepada 89.17.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 20.16 bilion unit bernilai RM10.82 bilion daripada 15.28 bilion unit bernilai RM9.67 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menambah kepada 13.46 bilion saham bernilai RM9.17 bilion daripada 10.15 bilion saham bernilai RM8.12 bilion.

Jumlah dagangan waran naik sedikit kepada 1.38 billon unit bernilai RM212.08 juta berbanding 1.30 bilion unit bernilai RM174.24 juta.

Jumlah dagangan Pasaran Ace menokok kepada 4.99 bilion saham bernilai RM1.42 bilion daripada 3.59 bilion saham bernilai RM1.36 bilion.

-- BERNAMA