Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Israel mahu adakan rundingan terus dengan Lubnan

 Israeli Prime Minister Benjamin Netanyahu speaks during a press conference, amid the U.S.-Israel conflict with Iran, in Jerusalem, March 19, 2026. REUTERS/Ronen Zvulun
Netanyahu menegaskan bahawa tiada gencatan senjata sedang berkuat kuasa di Lubnan. - Foto fail/REUTERS

BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengumumkan kerajaannya akan memulakan rundingan terus dengan Lubnan, dengan fokus utama terhadap pelucutan senjata Hezbollah serta usaha mewujudkan hubungan aman antara kedua-dua negara.

Netanyahu berkata demikian pada Khamis, sambil memaklumkan bahawa Amerika Syarikat (AS) akan menjadi tuan rumah pertemuan berkenaan minggu depan bagi membincangkan rundingan gencatan senjata melibatkan Israel dan Lubnan.

Advertisement

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa tiada gencatan senjata sedang berkuat kuasa di Lubnan.

Kenyataannya dibuat sehari selepas Israel melancarkan serangan udara besar-besaran ke atas Lubnan yang mengorbankan 303 orang dan mencederakan lebih 1,150 yang lain, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan.

Serangan tersebut merupakan yang paling hebat sejak konflik tercetus enam minggu lalu.

Tindakan Israel itu mencetuskan kekeliruan berhubung gencatan senjata yang diumumkan melibatkan AS, Israel dan Iran, dengan pihak Iran mendakwa Israel telah melanggar perjanjian tersebut.

Tehran turut mengancam tindakan balas dan mengambil langkah menyekat laluan perkapalan di Selat Hormuz.

Tentera Israel masih menguasai sebahagian besar selatan Lubnan, manakala keberkesanan rundingan turut dipersoalkan kerana pengaruh kerajaan Lubnan terhadap Hezbollah adalah terhad, meskipun kumpulan itu menyertai kerajaan dan disokong Iran.

Kerajaan Lubnan baru-baru ini mengarahkan pasukan keselamatan untuk mengehadkan pemilikan senjata di Beirut kepada institusi negara sahaja, satu langkah yang disambut baik oleh Israel.

Netanyahu berkata rundingan akan menumpukan kepada pelucutan senjata Hezbollah dan hubungan damai antara kedua-dua negara.

Setakat ini, lebih 1,800 orang terbunuh akibat perang tersebut, manakala kira-kira 1.2 juta penduduk Lubnan terpaksa berpindah, menurut pihak berkuasa kesihatan Lubnan.

 

Must Watch Video