KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka kekal diniagakan tidak berubah minggu depan, dengan kecenderungan meningkat bagi FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI).

Bagaimanapun, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata prospek jangka panjang kekal positif.

"Kami mengekalkan pendirian bahawa sekiranya indeks petunjuk pasaran melepasi paras rintangan 1,557 dan kekal dalam tempoh berpanjangan, terdapat potensi peningkatan yang selanjutnya.

"FBM KLCI mencatat peningkatan semula dan mengalami tekanan belian yang kukuh pada Khamis di samping harga penutupan yang lebih tinggi berbanding harga pembukaan pada Jumaat. Ia turut melepasi semua Purata Pergerakan Eksponen (EMA), dengan EMA 20 hari memaparkan trend kenaikan," kata Thong kepada Bernama.

Beliau berkata firma pembrokeran itu meramalkan momentum optimis ini akan memacu indeks itu ke arah paras rintangan seterusnya pada 1,570.

Sementara itu, paras sokongan segera kini berada pada 1,537, diikuti dengan 1,520.

"Oleh itu, kami menjangkakan indeks akan berlegar sekitar julat 1,537-1,570 untuk minggu depan," katanya.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI menambah 19.18 mata kepada 1,555.25 daripada 1,536.07 minggu lepas.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 131.59 mata kepada 11,703.18, Indeks FBM 70 menokok 97.99 mata kepada 16,332.07, Indeks FBM ACE naik 84.53 mata kepada 4,981.59, Indeks FBMT 100 menambah 121.17 mata kepada 11,338.74, dan Indeks FBM Emas Syariah naik 222.58 mata kepada 11,866.10.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 5.43 mata kepada 185.06, Indeks Tenaga naik 15.14 mata kepada 967.50, dan Indeks Perladangan meraih 172.42 mata kepada 7,460.09, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 33.85 mata kepada 17,239.42.

Jumlah dagangan mingguan menokok kepada 19.34 bilion unit bernilai RM13.19 bilion berbanding 14.40 bilion unit bernilai RM11.29 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 10.68 bilion saham bernilai RM11.43 bilion daripada 8.85 bilion saham bernilai RM10.06 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 4.21 bilion unit bernilai RM489.19 juta berbanding 2.38 bilion unit bernilai RM332.09 juta minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menokok kepada 4.41 bilion saham bernilai RM1.25 bilion berbanding 3.09 bilion saham bernilai RM896.65 juta sebelumnya.

-- BERNAMA