KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini dengan indeks utama bergerak dalam jajaran ketat menjelang pengumuman data suku pertama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kata seorang penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 0.23 mata kepada 1,434.90 daripada 1,435.13 semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka tinggi 0.34 mata kepada 1,434.79 dan bergerak antara 1,429.43 dan 1,436.04 pada sepanjang sesi.

Sentimen pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 486 berbanding 370, manakala 408 kaunter tidak berubah, 1,003 tidak diniagakan dan 13 lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 3.25 bilion unit bernilai RM1.89 bilion.

Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata pasaran berkemungkinan meningkat esok selepas data dikeluarkan esok.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata pasaran serantau utama ditutup lebih tinggi kerana bank pusat China telah menjanjikan dasar monetari yang berhemat untuk menghasilkan permintaan domestik.

"Inflasi di China semakin menurun sejak beberapa bulan lepas walaupun ekonomi dibuka semula selepas sekatan perjalanan akibat pandemik ditarik balik," katanya kepada Bernama.

Di peringkat tempatan, beliau berpendapat prospek ekuiti tempatan kekal stabil walaupun prestasi hambar hari ini kerana harga saham turun disertai asas ekonomi tempatan yang kukuh akan memacu pasaran ke hadapan.

"Justeru, kami menjangkakan FBM KLCI akan menunjukkan prestasi yang lebih positif dan menjangkakan ia berlegar dalam julat 1,430-1,445 untuk minggu ini.

"Secara teknikal, kami mendapati paras rintangan serta-merta pada 1,440, diikuti oleh 1,460 dengan paras sokongan pada 1,415," tambahnya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank turun satu sen kepada RM8.70, Public Bank susut dua sen kepada RM3.97, Tenaga Nasional merosot tiga sen kepada RM9.18 manakala Petronas Chemicals tidak berubah pada RM7.40 dan CIMB naik tiga sen kepada RM5.26.

Bagi saham aktif, Hong Seng bertambah 0.5 sen kepada 14 sen, Revenue melonjak empat sen kepada 44.5 sen, SMRT meningkat 11.5 sen kepada 64.5 sen, Dataprep melonjak lima sen kepada 23 sen bagaimanapun Top Glove turun enam sen kepada RM1.05.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas jatuh 5.15 mata kepada 10,563.76, Indeks FBMT 100 susut 3.40 mata kepada 10,243.37 dan Indeks FBM 70 turun 11.74 mata kepada 13,858.30.

Indeks FBM Emas Shariah merosot 18.68 mata kepada 10,924.16 manakala Indeks FBM ACE naik 1.14 mata kepada 5,369.32.

Dari segi sektor, Indeks Perladangan merosot 31.13 mata kepada 6,820.0, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.49 kepada 175.16,Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 31.39 mata kepada 15,765.59 dan Indeks Tenaga bertambah 8.53 mata kepada 877.79.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 2.13 bilion unit bernilai RM1.55 bilion daripada 2.17 bilion unit bernilai RM1.45 bilion pada Jumaat.

Jumlah dagangan waran naik kepada 403.87 juta unit bernilai RM66.38 juta berbanding 263.79 juta unit bernilai RM46.42 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menguncup kepada 712.71 juta saham bernilai RM273.92 juta berbanding 779.03 juta saham bernilai RM268.73 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 270.21 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (500.32 juta); pembinaan (59.16 juta); teknologi (496.77 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (96.64 juta); hartanah (201.62 juta); perladangan (23.47 juta); REIT (15.08 juta); dana tertutup (sifar); tenaga (87.72 juta); penjagaan kesihatan (160.94 juta); telekomunikasi dan media (65.42 juta); pengangkutan dan logistik (31.25 juta) serta utiliti (124.84 juta).

-- BERNAMA