Skip to main content

Dunia

Bekalan kuasa terputus di Pulau Kharg Iran selepas serangan AS

A satellite image shows damage on Kharg Island, Iran, after U.S. strikes, amid the U.S.-Israeli conflict with Iran, March 14, 2026. SPOT © CNES 2026, Distribution Airbus DS/Handout via REUTERS
Beberapa saluran media Iran melaporkan gangguan bekalan elektrik itu berlaku selepas serangan tentera AS ke atas pulau berkenaan. - Reuters

ISTANBUL: Bekalan kuasa di Pulau Kharg, Iran yang terletak di Teluk Parsi terputus pada Selasa susulan gelombang serangan Amerika Syarikat (AS) yang menyasarkan lebih 50 lokasi, lapor  Anadolu Ajansi yang memetik media AS dan Iran.

Beberapa saluran media Iran melaporkan gangguan bekalan elektrik itu berlaku selepas serangan tentera AS ke atas pulau berkenaan.

Advertisement

The Wall Street Journal melaporkan bahawa jet pejuang AS mengebom lebih 50 sasaran ketenteraan di pulau milik Iran itu.

Terdahulu, Agensi Berita Mehr Iran melaporkan bahawa pesawat pejuang AS dan Israel melancarkan beberapa serangan udara di pulau itu yang menyebabkan beberapa letupan berlaku.

Setakat ini, tiada butiran lanjut mengenai angka korban atau kerosakan yang dialami.

Minggu lepas, Presiden AS Donald Trump berkata semua sasaran ketenteraan di Pulau Kharg "telah musnah sepenuhnya".

Trump turut menyatakan minat untuk "mengawal" minyak Iran, dengan membayangkan bahawa merampas Pulau Kharg - yang merupakan terminal eksport minyak utama Iran - adalah antara pilihan yang sedang dipertimbangkan.

Ketegangan serantau terus memuncak sejak Israel dan AS melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Feb, mengorbankan lebih 1,340 orang termasuk Pemimpin Agung ketika itu, Ayatollah Ali Khamenei. Pihak berkuasa Iran tidak mengemas kini angka kematian dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Iran telah membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, Jordan, Iraq, dan negara-negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS, sehingga mengakibatkan kematian serta kerosakan infrastruktur selain mengganggu pasaran global dan sektor penerbangan.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video