KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi pada Isnin apabila pelabur cenderung kepada saham tenaga, perladangan dan telekomunikasi utama terpilih.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 7.95 mata atau 0.52 peratus kepada 1,544.02 daripada 1,536.07 ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas.

Indeks penanda aras itu dibuka 1.43 mata lebih tinggi kepada 1,537.50 dan bergerak di antara 1,537.07 dengan 1,544.71 sepanjang dagangan hari ini.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 565 berbanding 451 manakala 442 kaunter tidak berubah, 815 kaunter tidak diniagakan dan lapan yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.16 bilion unit bernilai RM2.13 bilion daripada 3.06 bilion unit bernilai RM2.59 bilion pada Jumaat.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pihak firma pembrokeran ekuiti dalam talian itu yakin namun berhati-hati terhadap pasaran memandangkan sentimen pelabur semakin baik susulan data ekonomi luar negara yang positif.

"Walau bagaimanapun, pelabur dinasihatkan supaya kekal peka mengenai turun naik ketara pasaran yang semakin meningkat. Kami menjangkakan FBM KLCI berada dalam aliran berjulat 1,527 hingga 1,557 minggu ini dengan sokongan serta-merta pada 1,527 dan rintangan pada 1,557," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata indeks serantau utama juga bergerak lebih tinggi, disokong oleh prospek positif dari China apabila Indeks Pengurus Pembelian (PMI) negara itu meningkat semula pada Mac selepas penyusutan lima bulan.

Selain itu angka inflasi Amerika Syarikat (AS) juga mengesahkan semula jangkaan untuk Rizab Persekutuan AS melonggarkan dasar kadar faedah tahun ini, katanya.

Antara saham wajaran tinggi, Petronas Gas melonjak 64 sen kepada RM18.26, PPB Group meningkat 46 sen kepada RM15.84 dan Maxis menambah 5.0 sen kepada RM3.42.

Hong Leong Financial Group menokok 24 sen kepada RM16.82 dan CelcomDigi naik 5.0 sen kepada RM4.24.

Kalangan saham aktif, Bina Puri, Velesto dan Sapura Energy masing-masing tidak berubah pada 8.0 sen, 29.5 sen dan 5.0 sen manakala MYEG susut setengah sen kepada 78.5 sen dan Perdana Petroleum turun 1.0 sen kepada 32 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 37.04 mata kepada 11,608.63, Indeks FBMT 100 menambah 32.38 mata kepada 11,249.95 manakala Indeks FBM Emas Syariah adalah 37.37 mata lebih kukuh pada 11,680.89.

Indeks FBM ACE meningkat semula 5.02 mata kepada 4,902.08 manakala Indeks FBM 70 merosot 58.32 mata kepada 16,175.76.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.42 mata kepada 180.05, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 62.02 mata kepada 17,335.29 dan Indeks Perladangan menokok 28.75 mata kepada 7,316.42.

Indeks Tenaga menambah 0.19 mata kepada 952.55.

Sementara itu, jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.03 bilion unit bernilai RM1.87 bilion daripada 1.89 bilion unit bernilai RM2.33 bilion pada Jumaat.

Jumlah dagangan waran melonjak kepada 325.93 juta unit bernilai RM31.04 juta daripada 282.04 juta unit bernilai RM30.29 juta pada Jumaat lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE, bagaimanapun, turun kepada 802.35 juta saham bernilai RM229.63 juta daripada 855.36 juta saham bernilai RM223.79 juta pada Jumaat.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 251.04 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama; produk dan perkhidmatan perindustrian (431.17 juta); pembinaan (221.47 juta); teknologi (143.37 juta); SPAC (0.00 juta); perkhidmatan kewangan (69.03 juta); hartanah (489.11 juta); perladangan (34.86 juta); REIT (14.94 juta); dana tertutup (53,600); tenaga (203.56 juta); penjagaan kesihatan (47.42 juta); telekomunikasi dan media (26.42 juta); pengangkutan dan logistik (57.16 juta); serta utiliti (37.47 juta).

-- BERNAMA