Skip to main content

Teknologi

Imej papan induk NVIDIA N1 tular, cetus spekulasi cip komputer riba baharu

Sumber: AMANZ
Berdasarkan imej yang tular, papan induk berkenaan dilengkapi memori SK Hynix berkapasiti 128GB, dua slot storan SSD M.2 bersaiz 2280, serta ruang yang besar untuk sistem penyejukan, mencerminkan rekaan bagi komponen berkuasa tinggi. -Foto Amanz

TAIPEI: Imej papan induk komputer riba yang dipercayai menempatkan cip pemprosesan terbaharu NVIDIA, dikenali sebagai siri N1, mula tular di platform jual beli komponen China, Goofish, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai spesifikasi fizikal unit pemprosesan berkenaan.

Cip NVIDIA N1 itu dilaporkan merupakan Sistem atas Cip (SoC) yang dibangunkan menerusi kerjasama strategik bersama syarikat pereka cip, MediaTek, khusus untuk segmen komputer riba berprestasi tinggi, lapor Amanz.

Advertisement

Berdasarkan imej yang tular, papan induk berkenaan dilengkapi memori SK Hynix berkapasiti 128GB, dua slot storan SSD M.2 bersaiz 2280, serta ruang yang besar untuk sistem penyejukan, mencerminkan rekaan bagi komponen berkuasa tinggi.

Laporan tidak rasmi mendakwa cip SoC NVIDIA N1 berkenaan dijangka hadir dengan sehingga 20 teras pemprosesan fizikal serta unit pemprosesan grafik (GPU) terbina dalam yang dikatakan berada dalam kelas prestasi pertengahan hingga tinggi.

Pemerhatian terhadap susun atur papan induk itu juga menunjukkan penggunaan modul kawalan voltan (VRM) yang banyak, sekali gus mencetuskan jangkaan bahawa cip berkenaan memerlukan penggunaan tenaga yang tinggi, meskipun direka untuk platform komputer riba.

Selain itu, papan induk tersebut turut memaparkan palam sambungan standard termasuk HDMI, USB Jenis‑A, USB Jenis‑C serta bicu audio 3.5 milimeter.

NVIDIA dijangka memperkenalkan cip pemprosesan komputer riba siri N1 itu secara rasmi sempena acara Computex Taipei yang dijadualkan berlangsung pada penghujung Mei ini.

Beberapa pengeluar komputer riba sebelum ini turut memberi bayangan mengenai pelancaran model baharu yang dijangka dikuasakan oleh cip pemprosesan berprestasi tinggi berkenaan.

Must Watch Video