Bursa Malaysia ditutup tinggi didorong penurunan kadar Fed

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 14.39 mata atau 0.89 peratus kepada paras tertinggi harian pada 1,625.39 berbanding paras 1,611.00 ketika ditutup semalam. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Indeks utama Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini, disokong oleh aktiviti belian pada harga rendah berikutan keputusan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) mengurangkan kadar penanda arasnya sebanyak 25 mata asas, meskipun pasaran serantau mencatatkan penurunan.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 14.39 mata atau 0.89 peratus kepada paras tertinggi harian pada 1,625.39 berbanding paras 1,611.00 ketika ditutup semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka 1.86 mata lebih tinggi pada 1,612.86 sebelum susut ke paras terendah 1,609.96 pada awal dagangan. Ia kemudian kembali mengukuh dan naik secara beransur-ansur untuk ditutup pada paras tertinggi hari ini.
Bagaimanapun, di pasaran lebih meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 558 berbanding 460, manakala 512 kaunter tidak berubah, 1,228 tidak didagangkan dan 16 digantung.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 2.99 bilion unit bernilai RM2.35 bilion daripada 3.86 bilion unit bernilai RM2.21 bilion semalam.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata bursa utama serantau ditutup rendah apabila tekanan jualan ke atas kaunter teknologi meningkat selepas keputusan pendapatan Oracle yang lebih lemah daripada jangkaan mencetuskan semula kebimbangan mengenai sama ada peningkatan kaunter dipacu kecerdasan buatan (AI) boleh dikekalkan.
"Kemerosotan keuntungan kaunter teknologi sebahagiannya menenggelamkan isyarat daripada Fed, yang bukan sahaja menurunkan kadar faedah tetapi turut memberi bayangan untuk meningkatkan pembelian aset," katanya kepada Bernama.
Bagi pasaran tempatan, Thong berkata indeks penanda aras dijangka terus bergerak mendatar walaupun mencatat kenaikan hari ini susulan aliran keluar dana asing yang berterusan masih memberi tekanan jualan.
"Hanya penembusan jelas melepasi paras 1,630 dengan disokong jumlah dagangan kukuh akan menandakan momentum baharu dan membuka laluan ke arah zon 1,650.
"Kami menjangka FBM KLCI berlegar antara 1,610 hingga 1,630 menjelang hujung minggu," katanya.
Pengarah, Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI pulih semula dengan ketara hari ini, mengakhiri penurunan semalam berikutan sentimen pasaran bertambah baik selepas pemotongan kadar terbaharu Fed.
"Keyakinan baharu ini menyokong 21 daripada 30 kaunter komponen indeks, dengan saham perbankan sekali lagi menjadi penyumbang utama. Sektor tersebut terus meraih kelebihan daripada jangkaan pertumbuhan permintaan pinjaman dan hala tuju kadar faedah yang lebih jelas," katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 14 sen kepada RM10.26, Public Bank meningkat lima sen kepada RM4.42, CIMB Group menambah 13 sen kepada RM7.95, manakala Tenaga Nasional dan IHH Healthcare masing-masing tidak berubah pada RM12.74 dan RM8.40.
Bagi saham paling aktif, Borneo Oil tidak berubah pada setengah sen, BMS Holdings naik dua sen kepada 21 sen, Velesto Energy susut setengah sen kepada 27.5 sen, Tanco Holdings merosot satu sen kepada RM1.15, manakala Pharmaniaga meningkat dua sen kepada 25.5 sen.
Antara kaunter untung tertinggi, Kuala Lumpur Kepong melonjak 32 sen kepada RM19.52, Hong Leong Financial Group meningkat 30 sen kepada RM18.16, Westports naik 22 sen kepada RM5.67, Hong Leong Bank menambah 18 sen kepada RM21.60, dan Telekom Malaysia meningkat 16 sen kepada RM7.88.
Kaunter rugi utama pula termasuk BLD Plantation yang susut RM1.46 kepada RM15.04, Nestle turun 80 sen kepada RM114.20, Gamuda berkurangan 24 sen kepada RM4.89, Dutch Lady merosot 18 sen kepada RM30.10 dan Malaysian Pacific Industries turun 18 sen kepada RM32.00.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 66.75 mata kepada 11,983.66, Indeks FBM Emas Shariah naik 33.88 mata kepada 11,822.76, Indeks FBMT 100 bertambah 75.60 mata kepada 11,776.87, manakala Indeks FBM 70 susut 20.57 mata kepada 16,630.50 dan Indeks FBM ACE berkurangan 18.90 mata kepada 4,712.06.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 234.07 mata kepada 19,152.47, Indeks Perladangan meningkat 71.35 mata kepada 8,134.18, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.55 mata kepada 167.54, dan Indeks Tenaga mengukuh 5.37 mata kepada 762.80.
Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 1.47 bilion unit bernilai RM2.10 bilion daripada 1.63 bilion unit bernilai RM1.81 bilion semalam.
Jumlah dagangan waran merosot kepada 1.17 bilion unit bernilai RM134.84 juta berbanding 1.89 bilion unit bernilai RM268.63 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan ACE Market meningkat kepada 344.31 juta unit bernilai RM117.09 juta berbanding 336.40 juta unit bernilai RM125.36 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 169.55 juta unit yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (343.55 juta), pembinaan (122.96 juta), teknologi (154.45 juta), perkhidmatan kewangan (63.21 juta), hartanah (137.70 juta), perladangan (24.06 juta), amanah pelaburan hartanah (17.45 juta), dana tertutup (2,100 saham), tenaga (158.10 juta), penjagaan kesihatan (157.66 juta), telekomunikasi dan media (51.92 juta), pengangkutan dan logistik (40.48 juta), utiliti (34.20 juta) dan amanah perniagaan (188,400).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


