KUALA LUMPUR: Pas meminta semua pimpinan dan ahlinya agar tidak membuat sebarang kenyataan atau ulasan berhubung perkembangan terkini yang melibatkan pihak-pihak lain dengan Pas, menerusi mana-mana saluran media atau komunikasi tanpa kebenaran khas parti.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan hari ini menjelaskan, arahan itu berkuat kuasa kepada semua pimpinan dan ahli parti.
"Semua pihak diminta kekal tenang dan menyerahkan perkara seumpama ini kepada Tuan Guru Presiden dan kepimpinan Parti yang akan menguruskannya dengan cermat dalam waktu terdekat," katanya dalam kenyataan itu.
Kenyataan itu menyusul susulan perkembangan politik terkini apabila Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu tidak akan tunduk dengan kerenah Bersatu dan akan meneliti semula hubungan dengan rakan gabungan Perikatan Nasional (PN) itu.
Abdul Hadi berkata, tindakan itu susulan satu persatu percanggahan serta tindakan negatif yang didakwa dilakukan Bersatu sehingga menimbulkan rasa kurang senang partinya.