KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi pada Jumaat, meneruskan peningkatan lima hari berturut-turutnya, dirangsang oleh aktiviti pembelian dalam pasaran di tengah-tengah keyakinan global yang semakin pulih, kata seorang peniaga.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 6.19 mata kepada 1,462.45 berbanding 1,456.26 ketika ditutup semalam.

Indeks petunjuk pasaran dibuka 0.31 mata lebih lemah pada 1,455.95 dan bergerak antara 1,455.69 dan 1,464.78 sepanjang hari.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 528 berbanding 425, manakala 460 kaunter tidak berubah, 925 tidak diniagakan, dan 45 yang lain digantung.

Jumlah dagangan susut kepada 3.77 bilion unit bernilai RM3.40 bilion daripada 4.25 bilion unit bernilai RM2.78 bilion semalam.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata peralihan pendirian mengekalkan kadar oleh Rizab Persekutuan (Fed), hasil perbendaharaan 10 tahun Amerika Syarikat yang rendah dan kemajuan positif China memberikan sedikit sokongan kepada pasaran dan meningkatkan selera risiko pelabur.

"Di peringkat serantau, indeks utama mencatatkan keuntungan selepas Fed mengekalkan kadar dan bercadang untuk pemotongan pada 2024 dan seterusnya. Sementara itu, hasil Perbendaharaan 10 tahun susut di bawah empat peratus buat kali pertama sejak Ogos apabila peniaga terus menjangkakan pemotongan kadar pada 2024.

"Selain itu, peningkatan ketara dalam pengeluaran perindustrian China sebanyak 6.6 peratus tahun ke tahun berbanding tinjauan Reuters sebanyak 5.6 peratus, yang merupakan tertinggi sejak November 2022 dan melebihi jangkaan, terus meningkatkan sentimen pelabur," katanya kepada Bernama.

Mengenai ekuiti serantau, Hang Seng Hong Kong naik 2.49 peratus kepada 16,810.44, Kospi Korea Selatan menambah 0.76 peratus kepada 2,563.56, Nikkei Jepun 225 naik 0.87 peratus kepada 32,970.55, dan Indeks Strait Times Singapura menokok 0.25 peratus kepada 3,115.12.

Di pasaran tempatan, saham wajaran tinggi Maybank susut lima sen kepada RM9.0, TNB turun dua sen kepada RM9.95, Public Bank naik satu sen kepada RM4.31, CIMB menokok dua sen kepada RM5.83 dan Petronas Chemicals tidak berubah pada RM7.15.

Dalam kalangan saham aktif, Minetech dan Reneuco masing-masing menambah 2.5 sen kepada 12 sen dan 24 sen, Sarawak Consolidated meningkat dua sen kepada 85 sen, Widad menambah satu sen kepada 47 sen dan Top Glove turun satu sen kepada 90 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 48.21 mata kepada 10,835.88, Indeks FBMT 100 berkembang 47.30 mata kepada 10,502.27, dan Indeks FBM Emas Syariah mengukuh 64.91 mata kepada 10,969.75.

Indeks FBM 70 meningkat 77.49 mata kepada 14,474.12 dan Indeks FBM ACE naik 41.35 mata kepada 5,180.67.

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 6.91 mata kepada 16,436.96 dan Indeks Tenaga adalah 12.06 mata lebih baik pada 816.29.

Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.74 mata kepada 172.47 dan Indeks Perladangan melonjak 45.75 mata kepada 7,046.57.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 2.47 bilion unit bernilai RM3.1 bilion berbanding 2.67 bilion unit bernilai 2.42 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 666.24 juta unit bernilai RM102.66 juta daripada 790.68 juta unit bernilai RM121.04 sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menyusut kepada 630.38 juta saham bernilai RM203.94 juta berbanding 784.15 juta saham bernilai RM233.96 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 444.55 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (633.26 juta); pembinaan (129.16 juta); teknologi (186.04 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (130.66 juta); hartanah (214.96 juta); perladangan (29.41 juta); REIT (17.22 juta), dana tertutup (4,500); tenaga (209.73 juta); penjagaan kesihatan (245.51 juta); telekomunikasi dan media (50.18 juta); pengangkutan dan logistik (37.19 juta); dan utiliti (139.22 juta).

-- BERNAMA