KUALA LUMPUR: Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) telah melepasi paras 1,500 mata pada Selasa.

Ia dibuka meningkat dalam dagangan awal Selasa, seiring prestasi semalaman Wall Street ketika aktiviti memburu saham-saham berharga rendah kembali rancak selepas tempoh mencabar pada minggu lalu.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata dua faktor yang menyumbangkan kepada prestasi ini melibatkan nisbah harga kepada pendapatan yang berada di bawah nilai (undervalued) serta perubahan senario kadar faedah di Amerika Syarikat (AS).

"Pasaran saham di Malaysia dianggap sebagai undervalued pada masa ini. Jika kita merujuk kepada penilaian berdasarkan harga nisbah kepada pendapatan, ia kini berada pada paras yang rendah, iaitu sekitar lima belas kali, berbanding dengan purata sekitar tujuh belas kali

"Ini menunjukkan saham-saham di Malaysia berpotensi untuk meningkat nilainya.

"Apabila berlaku perubahan hala tuju dari sudut kadar faedah di AS, ini juga membantu dalam aliran modal, di mana pelabur-pelabur asing mula melihat untuk melabur di peringkat negara rantau Asia termasuk negara kita," katanya kepada Astro AWANI pada Selasa. 

Sementara itu Afzanizam berkata, jika nisbah harga kepada pendapatan kembali kepada paras purata iaitu sebanyak tujuh belas kali, indeks FBM KLCI dijangka mampu mencecah paras 1,600 mata menjelang akhir tahun.

Menurutnya lagi, sekiranya angka ini berjaya dicapai, pelabur dijangka akan kembali ke pasaran Malaysia khusunya dalam sektor berkait semikonduktor.