SELEPAS setahun diberi amanah mengemudi syarikat milik kerajaan (GLC), Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) - tumpuan pastinya terarah kepada sosok bernama Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz yang dilantik menggantikan Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Individu yang mengambil alih pimpinan firma minyak negara pada usia 47 tahun itu mempunyai pengalaman besar dalam bidang korporat, selain merupakan akauntan bertauliah dari Institut Akauntan Berkanun di England dan Wales.

Mengikut laporan The Egde, Tengku Muhammad Taufik antara individu termuda yang memegang jawatan kepimpinan PETRONAS. 

Mengikut rekod, Tan Sri Mohd Hassan Merican pernah mengambil alih pucuk pimpinan PETRONAS pada usia 43 tahun, sementara Tengku Razaleigh Tengku Mohd Hamzah dilantik memegang jawatan yang sama pada usia 37 tahun.

"Setahu saya, beliau (Tengku Muhammad Taufik) adalah seorang yang baik dan mempunyai integriti utuh. Beliau juga mempunyai pengalaman yang luas walaupun masih muda," memetik Wan Zulkiflee, dalam laporan The Edge.

Selain itu, Tengku Muhammad Taufik dilantik sebagai Ketua Pegawai Kewangan PETRONAS dan ahli lembaga pengarah sejak Oktober 2018.

Namun, sejauh mana cabaran yang terpaksa dihadapi Tengku Muhammad Taufik dalam menguruskan syarikat minyak negara itu, khususnya ketika seluruh dunia dilanda pandemik COVID-19?

Astro AWANI berpeluang menemuramahTengku Muhammad Taufik dalam program bual bicara, Agenda AWANI yang dihoskan oleh Ibrahim Sani.

Temu bual itu antara lain memberi fokus kepada prestasi tadbir urus korporat dan hala tuju kepimpinan Tengku Mohammad Taufik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS sejak dilantik setahun lalu.

Malah, Tengku Muhammad Taufik turut berkongsi mengenai komitmen syarikat dalam bentuk sumbangan kepada kerajaan, selain tumpuan ke arah pembangunan modal insan, bakat muda serta kepimpinan dalam PETRONAS.


---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Ikuti temu bual penuh di saluran 501, Live TV dan platform media sosial Astro AWANI esok jam 8.30 malam.