SINGAPURA: Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS) memberikan kelulusan bersyarat kepada cadangan kerjasama komersial antara Singapore Airlines Ltd (SIA) dan Malaysia Airlines Bhd (MAB) selepas menerima cadangan komitmen daripada kedua-dua pihak.

CCCS dalam satu kenyataan pada Selasa berkata ia telah menjalankan perundingan awam dari 27 Nov-18 Dis, 2019 sebagai sebahagian daripada proses penilaiannya.

Kerjasama itu akan dilaksanakan menerusi Perjanjian Rangka Kerja Kerjasama Komersial yang SIA dan MAB meterai pada 30 Okt, 2019.

Cadangan kerjasama komersial itu adalah berkenaan pakatan pengaturan kerjasama dalam perkhidmatan antara Singapura dan Malaysia menerusi Pengaturan Perniagaan Bersama (JBA) dan kerjasama dalam bidang lain.

Ia termasuk pengaturan prorata dan perkongsian kod yang diperluaskan untuk meningkatkan trafik antara Malaysia dan Singapura serta antara Malaysia, Singapura dan pasaran tertentu seperti Eropah.

Pengaturan kerjasama itu melibatkan penyelarasan antara kedua-dua pihak bagi perancangan rangkaian dan penjadualan, pengagihan, penetapan harga dan pengurusan serta pengagihan inventori, jualan bersama dan pemasaran serta perkongsian hasil.

Menurut suruhanjaya itu, pandemik COVID-19 dan penguatkuasaan sekatan sempadan telah menjejaskan sektor penerbangan, menyebabkan ketidakpastian tentang masa dan tahap pemulihan pasca pandemik.

"Penilaian CCCS yang terhad berasaskan kepada maklumat yang tersedia mengenai impak persaingan daripada kerjasama pasca COVID-19, dan keupayaan syarikat penerbangan untuk mengesahkan tuntutannya bagi manfaat ekonomi bersih," katanya.

Dalam keadaan ini, CCCS berkata kedua-dua syarikat penerbangan itu telah menyerahkan cadangan komitmen yang membolehkan pengaturan perniagaan bersama dilaksanakan semasa fasa pemulihan.

"Menerusi komitmen itu, pengaturan perniagaan bersama itu akan tertakluk kepada semakan semula seterusnya apabila siri petunjuk menunjukkan pemulihan berkekalan dan seterusnya aktiviti penerbangan normal yang berterusan dalam laluan langsung bertindih," katanya.

"Terdapat juga perlindungan yang mencukupi bagi kedua-dua pihak untuk melengkapi maklumat yang perlu bagi penilaian CCCS tentang sama ada petunjuk itu dicapai," kata CCCS.

Suruhanjaya itu berkata komitmen tersebut akan membolehkan ia menilai kebimbangan serta impak persaingan dan manfaat pengaturan perniagaan bersama "bagi asas lebih berdasarkan bermaklumat apabila terdapat pemulihan berterusan dalam sektor penerbangan."

-- BERNAMA