China mungkin kekal jadi rakan dagang terbesar Malaysia - Duta Besar

Johari (tengah), bersalaman dengan Setiausaha Jawatankuasa Wilayah Autonomi CPC Xizang, Wang Junzheng (dua dari kanan). - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: China mungkin mengekalkan kedudukannya sebagai rakan dagang terbesar Malaysia untuk tahun ke-17 berturut-turut, dengan pelaburan kumulatif di negara ini melepasi AS$20.8 bilion (AS$1=RM4.07), kata Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing.
"Dengan pengecualian visa China-Malaysia yang berkuat kuasa 17 Julai, 2025, yang membenarkan kemasukan tanpa visa untuk pemegang pasport kedua-dua negara, lebih empat juta pelawat China berkunjung ke Malaysia dalam tempoh 10 bulan pertama 2025," katanya dalam ucapan pembukaan New Blueprint, New Horizons: Briefing on China's 15th Five-Year Plan (Rangka Tindakan Baharu, Horizon Baharu: Taklimat Rancangan Lima Tahun Ke-15 China)," di sini pada Isnin.
Dalam hal ini, Ouyang menekankan keperluan mewujudkan penyelarasan yang lebih baik antara Rancangan Malaysia Ke-13 dan Rancangan Lima Tahun Ke-15 China.
"Kita perlu memanfaatkan kekuatan yang saling melengkapi, mengukuhkan integrasi dan keterhubungan rantaian perindustrian dan rantaian bekalan serta terus memajukan kerjasama Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) yang berkualiti tinggi.
"China akan terus berkongsi pengalaman dan kepakarannya dengan Malaysia untuk membantu pembangunan antara lainnya dalam kecerdasan buatan, kenderaan tenaga baharu, kedaulatan digital, komunikasi 5G dan teknologi hijau," katanya.
Ouyang berkata perlu ada pelaksanaan perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang berkualiti tinggi dan bersama-sama menggalakkan penguatkuasaan awal Protokol Penaiktarafan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN 3.0.
"Kita perlu mendukung perdagangan bebas dan globalisasi ekonomi, serta tegas menentang unilateralisme dan perlindungan perdagangan. Sebagai anggota penting Selatan Global, China dan Malaysia perlu terus memperkukuh penyelarasan dalam hal ehwal antarabangsa dan serantau, serta bersama-sama menjadikan sistem tadbir urus global lebih adil dan saksama.
"China telah menjadi pasaran pengguna dan import kedua terbesar di dunia, dengan skala ekonominya berkemungkinan besar mencecah 140 trilion yuan tahun ini. Dengan mengamalkan keterbukaan di tahap tertinggi dan kerjasama BRI yang berkualiti tinggi, China akan terus berkongsi peluang pembangunannya dengan seluruh dunia," katanya.
Sementara itu, pada taklimat berkenaan, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata Pelan Tindakan ASEAN-China 2026-2030 akan meletakkan asas yang kukuh untuk peringkat kerjasama seterusnya dan menyokong merealisasikan ASEAN 2045: Masa Depan Bersama.
"Begitu juga dengan pemeteraian Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China 3.0 pada Oktober 2025 yang tepat pada masanya dan diperlukan kerana ia menawarkan peluang untuk memperdalam daya tahan ekonomi dan membuka potensi baharu bagi kerjasama," katanya.
Johari sehubungan itu menyeru kepada kerjasama bagi memperkukuh hubungan ekonomi, meningkatkan ketersambungan serantau, menggalakkan pembangunan mampan, terutamanya dalam bidang tenaga boleh baharu dan teknologi hijau, serta mengembangkan pertukaran antara rakyat.
"Paling penting, kita berkongsi tanggungjawab untuk mendukung kestabilan dan kerjasama di rantau ini. Bagi Malaysia, penglibatan secara konstruktif dan bukannya spekulasi sentiasa menjadi pendekatan kami," katanya.
Johari berkata dialog secara berstruktur membolehkan kedua-dua negara bergerak melangkaui andaian, memahami keutamaan dasar secara langsung dan mengenal pasti bidang untuk kerjasama yang bermakna, sama ada dalam perdagangan, pelaburan, teknologi, daya tahan iklim, atau pertukaran antara rakyat.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


