Kumpulan CIMB menjangka pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebenar Malaysia rendah sedikit pada 4.6 peratus bagi 2016.

Persekitaran operasi akan terus mencabar untuk separuh pertama tahun depan dan kesan kenaikan kos sara hidup, kelembapan ringgit, peningkatan pengangguran dan kawalan kredit lebih ketat akan menyebabkan perbelanjaan pengguna kekal lemah.

Bagaimanapun, pelaburan tetap dijangka bertambah baik berikutan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-11 dan ini akan membantu mengimbangi sedikit momentum perbelanjaan pengguna yang berkurangan bagi memastikan permintaan domestik kekal teguh, kata Ketua Eksekutif Kumpulan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz dalam satu kenyataan hari ini.

Mengenai prospek sektor perbankan, beliau berkata bank-bank Malaysia pada amnya akan stabil pada 2016.

"Kami menjangka pertumbuhan keuntungan bersih 11.2 peratus, bersandarkan unjuran kami kenaikan pendapatan faedah bersih sebanyak 6.9 peratus dan kenaikan pendapatan bukan faedah 9.5 peratus.

"Kami bersetuju dengan Fitch Ratings bahawa terdapat tekanan terhadap kualiti aset bank, justeru nisbah pinjaman terjejas dijangka meningkat pada 2016, namun peningkatan itu tidaklah signifikan," katanya.

Mengenai prospek penggabungan dan pengambilalihan (M&A) pada 2016, Kumpulan CIMB menjangkakan kebanyakan pelaburan 2016 Malaysia disokong oleh perbelanjaan sektor swasta dalam pembuatan dan perkhidmatan serta perbelanjaan yang berkaitan infrastruktur awam.

"Oleh itu, kami yakin pasaran bon Malaysia pada 2016 berpotensi mengatasi pencapaian 2015 dari segi jualan sukuk memandangkan kami menjangkakan terbitan bon korporat antara RM70 bilion dan RM75 bilion dengan sukuk merangkumi 70-80 peratus terbitan tahunan," kata Tengku Zafrul.

Beberapa projek infrastruktur termasuk jalan raya dan rel, bernilai sekurang-kurangnya RM75 bilion hingga RM80 bilion yang tertangguh pada 2015 berkemungkinan dilancarkan pada 2016 dalam usaha kerajaan mengekalkan pertumbuhan ekonomi.

Berikutan kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat, kumpulan perbankan itu juga menjangka minat kembali bertumpu pada tawaran awam permulaan dan penjanaan modal di Malaysia, terutamanya bagi syarikat berorientasikan eksport yang mendapat manfaat daripada pengukuhan dolar AS.

"Kami juga menjangkakan lebih banyak aktiviti M&A terutama dalam industri insurans, elektronik, hartanah dan telekomunikasi, memandangkan syarikat mula mencari peluang mengukuhkan kedudukan pasaran mereka," kata Tengku Zafrul.