Pelangi Network Management Sdn Bhd, pengusaha produk coklat tempatan jenama CocoDamia, akan menembusi pasaran coklat halal di Jepun dalam tempoh kurang daripada empat tahun akan datang memandangkan terdapat permintaan dari negara matahari terbit itu.

Pengarah Urusan Zamzarina Zakaria berkata peluang itu timbul ketika pihaknya menyertai Forum Perniagaan Antarabangsa MARA-OISCA 2017, melalui kerajaan negeri Johor, di Kota Kinabalu, Sabah, November lepas.

"Di forum itu, pihak kami berpeluang bertemu dan berbincang bersama-sama syarikat berkenaan. Saya difahamkan Jepun sedang mencari produk halal untuk memenuhi kapasiti mereka yang akan menerima pelancong dan atlet dari seluruh dunia susulan penganjuran Sukan Olimpik Tokyo pada 2020 nanti," katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata, dalam perbincangan awal tersebut, wakil syarikat Jepun berkenaan menyuarakan minat untuk memasarkan produk CocoDamia selepas melihat potensinya.

Wanita berusia 37 tahun itu berkata, forum tersebut telah memberi manfaat kepada usahawan seperti beliau terutama dalam usaha memperluaskan rangkaian perniagaan, khususnya dengan penyertaan bukan sahaja usahawan tempatan malah antarabangsa seperti dari Jepun, Korea Selatan, Brunei dan Azerbaijan.

Memulakan perniagaan coklat hanya dari rumah, Zamzarina bermodalkan RM10,000 sahaja dengan dibantu suami dan memasarkan produk mereka melalui media sosial selain menerima tempahan untuk pelbagai majlis keraian.

Bersandarkan perniagaannya yang dimulakan pada 2013, syarikat itu kini mampu meraih pendapatan bulanan melebihi RM30,000.

Selain mempunyai galeri jualan di Skudai, CocoDamia yang kini mempunyai tujuh kakitangan juga menawarkan program lawatan sambil belajar, 'Edu Tour' dan 'Kid Fun Land' khusus untuk orang awam dan pelajar mempelajari secara lebih dekat pembuatan coklat halal dan berkualiti tinggi.

Kilang berskala perusahaan kecil dan sederhana CocoDamia di Skudai mengeluarkan 4,000 kilogram coklat sebulan, terdiri daripada Coklat IQ, Coklat Bar dan Coklat Tenaga, dengan campuran makanan sunnah seperti lubanah atau dikenali juga sebagai kemenyan Arab (resin beraroma), kismis, kurma, madu dan air zamzam bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Produk coklat CocoDamia kini dipasarkan di rangkaian Halal Mart, Maslee, Pasaraya Kapitan selain mempunyai 45 ejen dan stokis pengedar hampir di seluruh Malaysia serta luar negara seperti Brunei, Singapura dan Vietnam.

CocoDamia merupakan pemenang Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB) pada 2015 di bawah Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dengan kerjasama Technology Park Malaysia (TPM).

Menerusi kemenangan itu, Zamzarina memperolehi bantuan geran bernilai RM500,000 atas kejayaan projek inovasinya.

"TPM juga bertanggungjawab dalam menyediakan perkhidmatan inkubator maya atau "ADVISE", yang sekali gus banyak membantu CocoDamia, selain melalui perkhidmatan sokongan komprehensif dan bersepadu, bimbingan mentor, latihan dan perundingan serta kawalan kewangan," katanya.

Menurut ibu kepada tiga orang anak itu, TPM juga memberi peluang kepadanya untuk menikmati semua program berkaitan bimbingan perniagaan dan keusahawanan tanpa perlu hadir secara fizikal di kampus TPM.

TPM juga turut berperanan penting dalam pembangunan teknologi usahawan yang membantu Zamzarina merealisasikan ideanya untuk mencipta sebuah mesin membuat kerepek berasaskan coklat CocoDamia yang kini 80 peratus siap.

"TPM tidak pernah menghalang kami untuk menyuarakan pendapat, selain menyokong segala idea kami mereka juga sentiasa memastikan segala objektif dan sasaran kami berjaya dicapai dalam mengembangkan perniagaan," katanya. -- Bernama