Skip to main content

Hiburan

Penyanyi rap AS Offset cedera ditembak di Florida

Offset arrives at the iHeartRadio Music Award_AP
Keadaan Offset dilaporkan stabil dan kini sedang dipantau rapi. - AP

WASHINGTON: Penyanyi rap Amerika Syarikat, Offset, dilaporkan cedera akibat ditembak di Florida, menurut Agensi Berita Jerman (dpa).

“Kami mengesahkan yang Offset ditembak dan kini berada di hospital untuk menerima rawatan perubatan,” kata seorang jurucakap kepada penyiar AS ABC News dan majalah industri Variety.

Advertisement

“Keadaannya stabil dan sedang dipantau rapi,” kata jurucakap itu.

Menurut polis, kejadian berlaku pada petang Isnin di luar sebuah hotel dan kasino.

Dua individu ditahan dan siasatan masih dijalankan, lapor ABC. Tiada butiran lanjut diberikan setakat ini.

Offset atau nama sebenarnya Kiari Kendrell Cephus, sebelum ini pernah berkahwin dengan penyanyi Cardi B dan mempunyai tiga orang anak bersamanya.

Beliau mula dikenali sebagai anggota kumpulan hip-hop yang dicalonkan ke Anugerah Grammy, Migos, yang popular dengan lagu-lagu seperti “Versace,” “Bad and Boujee” dan “MotorSport.”

Pada November 2022, seorang lagi anggota Migos, Takeoff, ditembak mati di Bandar Houston, Texas. Seorang lelaki berusia 33 tahun kemudian didakwa atas tuduhan membunuh.

-- BERNAMA-dpa

Must Watch Video