KUALA LUMPUR: CTOS Digital Bhd memeterai perjanjian pembelian saham dengan OCBC Bank (Malaysia) Bhd, Affin Bank Bhd dan Affin Hwang Investment Bank Bhd bagi membeli 910,000 saham biasa dalam RAM Holdings Bhd pada harga RM25.06 juta.

CTOS memaklumkan kepada bursa saham bahawa cadangan pengambilalihan itu mewakili 9.1 peratus daripada jumlah modal saham berbayar agensi penarafan itu dan ia akan diselesaikan dengan hasil tunai yang diperoleh untuk pengambilalihan baharu daripada pelaksanaan tawaran awam permulaan serta dana yang dijana secara dalaman.

"Pengambilalihan pegangan minoriti strategik dalam RAM Holdings membolehkan kedua-dua syarikat memanfaatkan kepakaran kedua-dua syarikat dalam penilaian kredit, data dan analitik untuk melanjutkan penawaran produk dan cadangan nilai mereka kepada jumlah pelanggan sedia ada mereka," tambahnya.

Kedua-dua syarikat dijangka mendapat manfaat dalam kedua-dua penawaran produk dan jumlah pelanggan, kata CTOS.

-- BERNAMA