KUALA LUMPUR: Pengedar jenama Mercedes-Benz, Cycle & Carriage Bintang Berhad (CCB) dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia pada 19 September 2022.

"Keseluruhan modal saham terbitan CCB akan dikeluarkan daripada senarai rasmi Bursa Malaysia Securities Berhad berkuat kuasa mulai 9 pagi menurut perenggan 16.07(a) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

Perenggan 16.07(a) menyatakan bahawa penerbit boleh menarik balik penyenaraiannya daripada senarai rasmi berhubung dengan tawaran pengambilalihan di bawah Kod Pengambilalihan dan Penggabungan, selain daripada yang dilaksanakan melalui skim penyusunan, kompromi, penyatuan atau selektif pengurangan modal, apabila 90% atau lebih daripada saham tersenarainya (tidak termasuk saham perbendaharaan) atau unit tersenarai yang dipegang oleh pemegang saham atau pemegang unit, sama ada secara individu atau bersama dengan syarikat bersekutu pemegang saham atau pemegang unit tersebut.

Pada 6 September 2022, CCB mengumumkan bahawa syarikat itu telah mengemukakan permohonan kepada Bursa untuk cadangan penarikan balik penyenaraiannya.

Pengumuman itu merujuk kepada penutupan tawaran pengambilalihan sukarela tanpa syarat oleh Jardine Cycle & Carriage Ltd melalui CIMB Investment Bank Berhad untuk memperoleh semua baki saham biasa dalam CCB yang belum dimiliki oleh Jardine pada pertimbangan tunai RM2.70 setiap bahagian tawaran.

Saham CCB telah digantung untuk dagangan sejak 5 September 2022, selepas Jardine berjaya memperoleh 95.49 juta saham atau 94.78% kepentingan dalam CCB apabila tawaran pengambilalihan berakhir pada 25 Ogos 2022.

Cycle & Carriage ditubuhkan pada 1899 berpangkalan di Singapura dan Malaysia, ia merupakan antara kumpulan automotif utama terlibat dalam peruncitan, pengedaran dan penyediaan perkhidmatan selepas jualan Mercedes-Benz, Mitsubishi, kenderaan bermotor Kia dan Citroen.

Cycle & Carriage kemudian membuka semula operasinya di Malaysia dan diberikan francais Mercedes-Benz. - DagangNews.com