BISNES
Defisit fiskal Malaysia bagi tujuh bulan pertama 2025 berkurang 12 peratus - CIMB

Malaysia kekal berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran defisit fiskal 3.8 peratus pada 2025, walaupun pertumbuhan ekonomi lebih perlahan, kata CIMB. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan pengurangan defisit fiskal sebanyak 12 peratus tahun ke tahun kepada RM47 bilion bagi tempoh tujuh bulan pertama 2025 berbanding RM53 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas, dipacu kenaikan hasil kerajaan sebanyak 5.8 peratus tahun ke tahun.
Dalam satu nota semalam, CIMB Investment Bank Bhd berkata peningkatan itu disumbangkan oleh beberapa reformasi fiskal, seperti pelarasan semula pemberian subsidi tenaga bersasar, peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta Cukai Gula, selain pelaksanaan sistem e-invois secara berperingkat bagi meningkatkan ketelusan dan pematuhan.
Mengenai peningkatan hasil kerajaan sebanyak 5.8 peratus tahun ke tahun, bank pelaburan itu berkata ia mengatasi peningkatan perbelanjaan kerajaan sebanyak 1.6 peratus tahun ke tahun, merangkumi jumlah perbelanjaan operasi dan perbelanjaan pembangunan bersih.
"Malaysia kekal berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran defisit fiskal 3.8 peratus pada 2025, walaupun pertumbuhan ekonomi lebih perlahan, dengan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) dijangka berjumlah RM172 bilion," kata CIMB.Melangkah ke hadapan, CIMB menjangkakan pengumuman Belanjawan 2026 pada 10 Oktober akan mengimbangi usaha penstabilan fiskal menerusi langkah-langkah populis, dengan defisit fiskal dijangka berada pada paras 3.6 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).
Dari segi dasar monetari, CIMB menjangkakan Bank Negara Malaysia akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus pada November 2025.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami