MARANG: Seorang buruh warga Bangladesh cedera parah di kepala dan jari selepas ditetak lelaki tempatan yang menyamar sebagai pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam kejadian di Kampung Surau Haji Yaakob, Bukit Payung di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, mangsa, Bilal Mazi, 30, terpaksa dikejarkan ke hospital akibat kecederaan selepas bergelut dengan kumpulan suspek terbabit.
Ketua Polis Daerah Marang, Superintenden Mohd Sofian Redzuan berkata, pihaknya menerima panggilan MERS 999 berhubung kejadian pergaduhan melibatkan senjata tajam di sebuah tapak pembinaan rumah banglo di kampung berkenaan.
Menurutnya, mangsa bersama beberapa rakannya sedang berada di rumah kongsi di sebuah tapak pembinaan rumah banglo sebelum didatangi dua lelaki tempatan.
"Suspek memperkenalkan diri sebagai pegawai Imigresen lalu meminta mangsa serta rakannya menyerahkan pasport dan telefon bimbit untuk pemeriksaan. Bagaimanapun, mangsa mula berasa curiga dengan tindakan mereka.
"Salah seorang rakan mangsa sempat menyerahkan telefon bimbit sebelum mangsa bertindak memanggil beberapa lagi rakannya yang berada berhampiran tapak pembinaan tersebut," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.
Menurut beliau, tindakan berani mangsa menyebabkan suspek panik dan cuba melarikan diri sebelum berlaku pergelutan di simpang jalan keluar kawasan berkenaan.
"Ketika pergelutan berlaku, muncul seorang lagi rakan suspek dan dua daripada mereka dipercayai mengeluarkan parang lalu menetak mangsa.
"Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah manakala dua suspek turut cedera di kepala dan kening dipercayai terkena senjata tajam ketika pergelutan," katanya.
Beliau berkata, dua suspek yang cedera berjaya ditahan manakala seorang lagi suspek sempat meloloskan diri dengan menaiki motosikal jenis Yamaha Ego Solariz.
"Salah seorang suspek yang ditahan merupakan buruh binaan berusia 29 tahun berasal dari Kampung Kubang Terap, Kuala Terengganu. Hasil ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine.
"Seorang lagi rakan suspek yang telah dikenal pasti kini sedang giat diburu polis," jelas beliau.
Katanya, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kerana kawasan berkenaan merupakan penempatan rumah kayu dan rumah kongsi pekerja binaan.
Bagaimanapun, beliau berkata bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) serta pasukan forensik D10 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu telah digerakkan ke lokasi bagi tindakan lanjut.
Jelas beliau, polis turut berjaya merampas beberapa barang bukti di tempat kejadian termasuk parang, sampel darah serta kasut yang dipercayai milik suspek yang bertaburan.
"Mangsa dan seorang suspek yang mengalami kecederaan kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.
"Suspek yang ditahan akan direman hari ini (Sabtu) bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dan bersenjata," katanya. - Sinar Harian