KUALA LUMPUR: Biarpun Brahim's Holdings Bhd (BHB) telah dinyahsenarai dari Bursa Malaysia berkuatkuasa pada Jumaat, Dewina Holdings Sdn Bhd (Dewina) dan anak syarikatnya akan terus beroperasi seperti biasa.

Menurut Pengerusi Eksekutif Kumpulan Brahim's Datuk Seri Ibrahim Ahmad penyahsenaraian tersebut dijangka tidak akan memberi kesan yang ketara ke atas kumpulan Dewina.

"Kumpulan Dewina mengendalikan segala pembuatan dan pembekalan produk-produk dan perkhidmatan berjenama Brahim's yang beroperasi di bawah syarikat induknya, Dewina Holdings Sdn Bhd, jadi tidak akan ada sebarang gangguan perniagaan akibat penyahsenaraian ini.

"Ketahanan jenama Brahim's telah membantu kami mengharungi segala cabaran dan kebangkitan semula sektor ekonomi akan memberikan peluang yang lebih besar untuk kami mengembangkan lagi kehadiran jenama kami," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BACA: Saham Brahim's dinyahsenarai dari Bursa Malaysia 3 Jun 2022

Kumpulan Dewina terdiri daripada Dewina Food Industries (pengeluar makanan jenama Brahim's), Desatera (perkhidmatan katering tentera, institusi awam dan swasta), Dewina Consult (penyelidikan dan perundingan) dan Dewina Trading (pengedar produk jenama Brahim's).

Terdahulu, BHB yang berstatus Nota Amalan 17 (PN17) dinyahsenarai hari ini iaitu selepas 28 tahun syarikat itu disenaraikan pada 1994, setelah Bursa Malaysia menolak rayuan kumpulan itu untuk tambahan masa bagi menyerahkan pelan penyusunan semulanya.