LONDON: Pelaksanaan inisiatif Diplomasi Halal, serta pendigitalan proses pensijilan halal bakal menjadi antara langkah strategik Halal Development Corporation (HDC) untuk terus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemain utama industri tersebut di peringkat global.

Pengerusi HDC, Khairul Azwan Harun berkata, Malaysia mempunyai potensi yang cukup luas dalam industri yang dianggarkan bernilai AS$3 trilion, namun nilai eksport produk halal yang dicapai negara pada 2022 hanya sekitar RM60 bilion (AS$12.5 bilion).

Justeru, tegasnya, langkah strategik tersebut diyakini dapat memastikan lebih banyak pelabur luar ke negara ini, memperbaiki ekosistem halal negara bagi memastikan pemain tempatan lebih berdaya saing, dan seterusnya meningkatkan sumbangan industri ke Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga 10.8 peratus menjelang tahun 2030.

“Menerusi Diplomasi Halal, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memang menekankan kepentingan untuk membangunkan ekosistem halal di banyak pasaran luar dan dalam negara, dengan menggunakan kepakaran kita, standard piawaian kita, termasuk kepakaran kita.

“Jadi kerajaan mahu memastikan apabila kita bantu negara luar bangunkan ekosistem halal di tempat mereka, what do we get back in return.

"Jadi kita nak tengok lebih banyak syarikat atau pemain industri negara, apabila kita bangunkan ekosistem halal, pemain industri Malaysia ada peluang terlibat secara langsung dalam ekosistem negara itu. Jadi Diplomasi Halal ini two-way traffic, dua hala,” katanya.

Melalui Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12, Khairul Azwan berkata, kerajaan telah memperkenalkan Pelan Induk Industri Halal (HIMP) 2030, yang akan meningkatkan nilai dagangan eksport dan pensijilan melebihi RM230 bilion pada tahun yang disasarkan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita Malaysia di London, sempena World Halal Business Conference Circuit 2023 (WHBC 2023), anjuran Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan HDC, di sini pada Rabu.

Menurut kenyataan media penganjur, kerajaan dalam misi menjadikan Malaysia sebagai peneraju industri halal menyokong WHBC yang berteraskan “thought leadership” bersama pakar-pakar ekonomi dan “captain of industries” dari seluruh dunia.

Persidangan yang berlangsung pada 27-28 Oktober di Royal Lancaster, London itu bakal disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan akan dihadiri delegasi-delegasi dan pakar-pakar ekonomi antarabangsa dari United Kingdom, Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC), Kesatuan Eropah (EU), Indonesia, Afrika Selatan, China, Jepun dan Turki.

Persidangan itu akan meneroka peluang kerjasama antara pelbagai sektor termasuk makanan dan minuman, farmaseutikal, kosmetik, rantaian bekalan, perkhidmatan kewangan, teknologi serta sosial dan tadbir urus.

Dalam pada itu, Khairul Azwan berkata, HDC juga komited untuk menggunapakai teknologi pendigitalan, bagi meningkatkan lagi jumlah pemain industri tempatan halal yang kini mencecah sekitar 8,000 syarikat dengan jumlah produk sekitar 1.2 juta.

“Melalui Belanjawan 2024, kerajaan telah menetapkan tempoh kurang 30 hari untuk kelulusan pensijilan halal. Jadi peranan HDC ini melalui pendigitalan dan penggunaan teknologi maklumat yang ada, kita akan mempersiapkan syarikat tempatan yang bersedia untuk masuk ke proses kelulusan.

“Dalam sinergi tersebut, kita ada segmen pra kelulusan dan pasca kelulusan, dan HDC akan memainkan peranan di peringkat pra kelulusan, di mana kita akan bantu syarikat tempatan, serta antarabangsa, termasuk pengeluar eksport halal yang ingin dapatkan sijil dari Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM).

“Kita akan membimbing sehingga mereka bersedia sepenuhnya. jadi kemudian baru serah kepada JAKIM untuk laksanakan proses kelulusan mengikut tempoh baharu yang ditetapkan, seperti yang dinyatakan Perdana Menteri,” katanya.