Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) berhasrat untuk memohon dana tambahan sebanyak RM10 bilion menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dikhaskan kepada program Dana Kemakmuran Bumiputera (DKB).

Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Md Silmi Abd Rahman berkata, jumlah tersebut meliputi sebanyak RM2 bilion sebagai bajet tahunan dalam tempoh lima tahun.

Beliau berharap agar kerajaan menerusi Unit Perancang Ekonomi dapat mempertimbangkan permohonan itu dengan mengambil kira kesan dan kejayaan projek berkenaan.

"Ini merupakan program hampir sama dengan sebelum ini, tetapi ditambah baik, yang telah diperuntukkan dana sehingga RM2 bilion dalam tempoh lima tahun.

"Tetapi, kita sasar untuk dapat RM1 bilion untuk tempoh setahun. Dan dalam mesyuarat, kita telah bangkitkan agar, untuk masa depan dapat disediakan RM1 bilion setahun.

"Berdasarkan prestasi kejayaan (projek sebelum ini) dengan peruntukan sebanyak RM2 bilion, kita mampu sediakan peluang pekerjaan sehingga 50,000," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Selasa.

BACA: Teraju sedia peruntukan RM100 juta untuk DKB


Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof ketika melancarkan DKB mengumumkan Teraju telah meluluskan peruntukan RM100 juta bagi program DKB.

Ia bertujuan menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan merangsang pelaburan baharu syarikat bumiputera yang berkelayakan.

Mengulas lanjut, Md Silmi berkata, beliau yakin dan percaya sasaran DKB boleh dicapai dalam tempoh yang ditetapkan.

"Program yang dibuat oleh Teraju mempunyai kelebihan, iaitu kadar peratusan kejayaan sehingga mencapai 85 hingga 90 peratus.

"Sasaran ini sangat tinggi untuk dibuat bagi syarikat milik penuh Bumiputera dan kita mampu realisasikan berdasarkan program-program yang dilaksanakan Teraju sebelum ini," katanya.