KUALA LUMPUR: Dagang NeXchange Bhd (DNeX) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Ajlan & Bros Holding Group (Abilitii) yang berpangkalan di Arab Saudi bagi meneroka peluang perniagaan antara kedua-dua syarikat.

Kerjasama itu antaranya membabitkan sektor teknologi, produk perisian dan platform untuk memudahkan perdagangan, pengeluaran dan perdagangan minyak dan gas, pembangunan perisian, integrasi sistem dan perkhidmatan perundingan.

Pengarah Urusan DNeX, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, kerjasama itu membolehkan kumpulan memperluaskan kehadiran di rantau Asia Barat dan Afrika Utara (MENA).

Katanya, kerjasama sedemikian boleh membantu kedua-dua pihak mencari peluang dalam industri semikonduktor di Malaysia dan Arab Saudi, sekali gus membuktikan keupayaan teras DNeX dalam bidang teknologi, tenaga dan teknologi maklumat.

"Bersama Abilitii, kumpulan akan meneroka peluang yang luas di Arab Saudi iaitu usaha dalam pemodenan dan pendigitalan negara sebagai sebahagian daripada Wawasan 2030 kerajaan melalui perkhidmatan dan penyelesaian yang ditawarkannya dalam khidmat rundingan teknologi dan integrasi sistem serta kemudahan perdagangan.

"Kami berhasrat untuk membawakan amalan terbaik dan pengalaman kami dari Malaysia dalam sektor ini dan mencari mekanisme terbaik untuk untuk membina, melengkapi dan menambah baik perkhidmatan yang ditawarkan dengan bantuan Abilitii," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menerusi kerjasama itu, DNeX dan Abilitii akan memanfaatkan kepakaran masing-masing untuk meneroka peluang perniagaan dan mempertimbangkan untuk mewujudkan syarikat usaha sama di Arab Saudi bagi mencapai pengaturan kerjasama yang dipersetujui.

Tambahan pula, peluang itu juga mungkin termasuk pelaburan daripada Abilitii dalam usaha niaga tertentu yang dijalankan oleh DNeX.

Ajlan & Bros Holding Group yang berpangkalan di Riyadh, Arab Saudi merupakan salah satu konglomerat swasta terbesar di rantau Asia Barat yang ditubuhkan pada 1979. Ia mempunyai lebih daripada 15,000 pekerja dari 25 buah negara merentasi 75 syarikat.

Kumpulan terpelbagai itu mempunyai pelaburan di beberapa negara merentasi pelbagai portfolio seperti pembangunan hartanah, pelaburan antarabangsa, logistik, infrastruktur, pelabuhan, tenaga, perlombongan, penjagaan kesihatan dan pelancongan.

Malah, ia juga mempunyai perniagaan dan liputan dalam lebih daripada 20 sektor. Ajlan & Bros Holdings Group berada di kedudukan ke-34 dalam 100 Senarai Forbes Bagi Perniagaan Keluarga Arab Terbaik di Timur Tengah 2021. - DagangNews.com