BISNES
Dorongan gas Sarawak wajar, tapi sistem negara perlu kekal utuh

Jika dirangka dengan bijak, perjanjian PETRONAS-Petros boleh menjadi model kerjasama persekutuan–negeri yang memperkukuh Sarawak tanpa melemahkan Malaysia.
PETALING JAYA: Sarawak kini berada di barisan hadapan dalam usaha merombak masa depan tenaga negeri itu, namun pakar industri minyak dan gas, Jamil Ghani, serta bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim mengingatkan bahawa sebarang langkah drastik perlu berpaksikan kerjasama dan pragmatisme agar sistem tenaga negara tidak terjejas.
Langkah Sarawak untuk mendapatkan kawalan lebih besar terhadap sumber gasnya dilihat sebagai titik perubahan dalam hubungan persekutuan-negeri.
Namun, persoalan utama bukan sama ada Sarawak berhak mendapat lebih, tetapi sejauh mana, secepat mana, dan atas terma apa tanpa meruntuhkan kerangka tenaga nasional.
Hak Sarawak: Antara Autonomi dan RealitiMenurut Jamil, sebanyak 60 peratus gas Malaysia terletak di perairan Sarawak, namun negeri itu hanya menggunakan enam peratus untuk kegunaan domestik, manakala 94 peratus dieksport sebagai gas asli cecair (LNG).
“Tanpa peranan dalam pengagregatan gas, ketidakseimbangan ini akan berterusan dan mengekang cita-cita Sarawak mengembangkan industri-industri di negeri tersebut.
Namun, beliau menegaskan bahawa kerjasama perlu mengatasi konfrontasi, kerana sektor tenaga ini perlu dilindungi dan stabil.
"Kedua-dua pihak negeri dan negara akan rugi jika sistem runtuh akibat tekanan yang bersaing," katanya.
Petros Sebagai Pengagregat Tunggal?
Sarawak mahu syarikat milik negeri, Petros, dilantik sebagai pengagregat tunggal gas, membeli dari pengeluar huluan dan menjual kepada pengguna hiliran.
Ini akan memberi kuasa penentuan harga dan dasar kepada negeri, namun pakar memberi amaran bahawa model ini mungkin tidak begitu mampan.
“Kontrak LNG sudah ditetapkan untuk jangka panjang.
"Jika Petros beli murah di peringkat huluan dan jual mahal di peringkat hiliran, PETRONAS boleh rugi besar walaupun perlu terus memenuhi komitmen eksport,” jelas Jamil.
Sebagai alternatif, beliau mencadangkan model kebersamaan iaitu Petros menjadi pengagregat yang membuat pengedaran dalam negeri.
Manakala PETRONAS kekal mengawal pengeluaran huluan dan eksport LNG, satu keseimbangan antara cita-cita negeri dan kestabilan nasional.
Permintaan Gas dan Bayaran Tetap: Realistikkah?
Sarawak turut menuntut bayaran tetap RM10 bilion setahun dan peningkatan bekalan gas kepada 1.2 bilion kaki padu sehari, naik tiga kali ganda daripada 450 juta sekarang.
Namun, menurut Zaid, tiada syarikat tenaga mampu menjamin bayaran tetap berdasarkan pendapatan yang berubah-ubah.
“Model sebegini boleh menyebabkan PETRONAS muflis,” katanya menerusi hantaran di platform X.
Jamil pula menegaskan bahawa permintaan perlu ada dahulu sebelum bekalan boleh berikan, bukan sebaliknya.
Isu Perundangan: PDA vs Ordinan Negeri
Sarawak turut meminta PETRONAS memohon pengecualian lesen operasi di negeri itu, berdasarkan Ordinan Pengagihan Gas Negeri 2016, namun ini bertentangan dengan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) yang memberi hak dan kawalan kepada PETRONAS.
Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Azalina Othman Said, baru-baru ini mengingatkan bahawa PDA adalah kerangka undang-undang utama industri petroleum negara.
Mengatasi akta ini boleh mewujudkan pertindihan bidang kuasa dan ketidaktentuan pelabur.
PDA perlu dikekalkan sebagai tulang belakang peraturan, dan dasar mesra pelabur perlu dikembalikan,” kata Jamil.
Langkah Ke Hadapan: Model Kerjasama Baharu
Pakar-pakar telah mencadangkan tiga prinsip utama untuk mencapai kesepakatan:
1. Model pengagregat bersama di mana Petros mengetuai harga dan pengedaran domestik, PETRONAS kekal dalam aspek lain.
2. Keperluan gas Sarawak mesti didorong oleh permintaan sebenar, bukan anggaran. Manakala sebarang bentuk bayaran kepada negeri itu perlu berlandaskan keuntungan sebenar, bukanya jumlah komitmen tetap.
3. Peranan undang-undang mesti dihormonikan, dengan PDA terus menjadi tunjang demi kelangsungan perniagaan minyak dan gas di negara ini.
Jika dirangka dengan bijak, perjanjian PETRONAS-Petros ini boleh menjadi model kerjasama persekutuan–negeri yang memperkukuh Sarawak tanpa melemahkan Malaysia.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami