Skip to main content

Malaysia

Bekas renjer hutan ditahan miliki koleksi hasil hidupan liar lebih setengah juta

TUARAN - [DIKEMAS KINI] Koleksi pelbagai bahagian hidupan liar bernilai lebih setengah juta yang dimiliki dan disimpan secara haram dirampas menerusi serbuan di Kampung Wokok Batangan di sini pada Jumaat.
Antara rampasan bahagian hidupan liar yang dirampas dalam serbuan di Kampung Wokok Batangan, Tuaran pada Ahad. Foto: WCB/PSK

TUARAN: Koleksi pelbagai bahagian hidupan liar bernilai lebih setengah juta yang dimiliki dan disimpan secara haram dirampas menerusi serbuan di Kampung Wokok Batangan di sini pada Sabtu.

Operasi kira-kira jam 7.15 pagi digerakkan Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar Sabah.

Komander WCB Bukit Aman, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, seorang lelaki berusia lingkungan 60-an yang juga pesara renjer hutan telah ditahan.

Menurutnya, rampasan antaranya membabitkan 55 pasang disyaki tanduk rusa, tiga batang disyaki sumbu badak, satu bangkai disyaki ular sawa, satu tengkorak disyaki burung enggang, dua batang disyaki gigi gajah dan 330 keping sisik tenggiling.

"Selain itu, turut ditemui dua pasang disyaki taring babi hutan, enam pasang disyaki tanduk kijang dan satu tengkorak gajah.

"Nilai rampasan dianggarkan bernilai RM550,100," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, soal siasat suspek mendedahkan memperoleh bahagian hasil haiwan tersebut dengan membeli daripada penduduk kampung di kawasan pedalaman Sabah, selain mendapatkan mana-mana bahagian haiwan yang ditemui untuk dijadikan koleksi peribadi.

Katanya, aktiviti pengumpulan bahagian hasil haiwan yang dilindungi bermula semasa suspek berkhidmat sebagai renjer hutan sejak tahun 1986 dan bersara pilihan pada tahun 2019 kerana masalah kesihatan.

"Tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tuaran sebelum diserah kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk tindakan lanjut," ujarnya.

Jelasnya, tindakan melibatkan pelbagai agensi berjaya mengekang aktiviti penyimpanan, pemilikan atau pengawalan bahagian hidupan liad yang dilindungi tanpa permit dan lesen sah.

Kes disiasat Seksyen 41(1) serta Seksyen 41(2) Enekmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997. - Sinar Harian

 

 

Must Watch Video