KUALA LUMPUR: DRB-Hicom Bhd mencatat kerugian bersih RM179.44 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2021 (S3 TK2021) berbanding keuntungan bersih RM47.5 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Hasil merosot kepada RM2.12 bilion berbanding RM3.56 bilion pada S3 TK2020 memandangkan sekatan pergerakan pada Julai dan Ogos 2021 telah menyekat aktiviti perniagaan di seluruh kumpulan, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam.

Bagi tempoh terkumpul sembilan bulan berakhir 30 September 2021, kerugian bersih DRB-HICOM mengecil kepada RM413.89 juta berbanding RM431.86 juta sebelumnya manakala hasil susut kepada RM8.25 bilion berbanding RM8.31 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu.

DRB-Hicom berkata pendapatan daripada sektor automotifnya merosot kepada RM1.27 bilion pada S3 TK2021 daripada RM2.54 bilion pada S3 TK2020 apabila aktiviti jualan terhenti di bawah perintah kawalan pergerakan.

Bagaimanapun, bagi tempoh sembilan bulan, sektor itu mencatatkan kenaikan dalam pendapatan sebanyak empat peratus kepada RM5.63 bilion berbanding RM5.41 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.

"Sebanyak 71,244 unit kereta Proton dijual dalam tempoh sembilan bulan hingga September, memberikan mereka bahagian pasaran setahun sehingga kini sebanyak 22 peratus berbanding 21 peratus dalam tempoh yang sama pada 2020," katanya.

Mengenai sektor perkhidmatan, DRB-Hicom berkata hasil bagi sektor itu turun sembilan peratus kepada RM835.21 juta pada S3 TK2021 berbanding RM918.67 juta pada S3 TK2020 diterajui oleh kejatuhan hasil daripada anak syarikatnya, Pos Malaysia Bhd.

Berhubung sektor hartanah pula, ia berkata hasil susut 88 peratus pada S3 TK2021 kepada RM12.84 juta daripada RM104.32 juta pada S3 TK2020.

Melangkah ke hadapan, ia berkata keputusan kerajaan untuk melanjutkan pengecualian cukai jualan bagi kenderaan penumpang sehingga 20 Jun 2022 akan mendorong permintaan kukuh untuk kereta.

"Selain itu, penarikan balik larangan merentas negeri dan pembukaan semula sempadan secara beransur-ansur dijangka meningkatkan perniagaan lain kumpulan itu dalam segmen logistik, pertahanan, aeroangkasa, perbankan dan perkhidmatan," katanya.

Namun begitu, DRB-HICOM berkata pihaknya bimbang ketidaktentuan ekonomi mungkin masih berterusan dan kumpulan akan terus berwaspada dan berhati-hati dalam menguruskan perniagaannya.

"Kumpulan tidak menjangkakan pemulihan ekonomi pada S4 2021 akan menterbalikkan kesan negatif kumulatif yang ditimbulkan oleh pandemik COVID-19 bagi tempoh kewangan berakhir 30 September 2021," tambahnya.

-- BERNAMA