DRB HICOM dan Zhejiang Geely hari ini melancarkan SUV baharu yang dinamakan Geely Boyue.

Pelancaran disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Pengerusi Zhejiang Geely Holding Li Shufu dan Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Datuk Seri Syed Faisal Albar.

Menurut DRB, perincian berkenaan pengeluaran dan harga model Boyue itu akan ditentukan oleh kedua syarikat.

Model Boyue, dengan nilai RM290 juta, itu adalah sebahagian daripada transaksi untuk Geely memiliki 49.9 peratus saham Proton daripada DRB-Hicom.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) menyaksikan Majlis Pertukaran Dokumen Persefahaman (MoU) di antara DRB-HICOM Berhad diwakili Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Seri Syed Faisal Albar (kiri) dan Zheijiang Geely Holding Group diwakili Presidennya, Ah Chonghuyi (kanan) pada majlis tersebut di sebuah hotel hari ini. - Foto Bernama
Menurut Perdana Menteri Proton kini bersaing di peringkat yang lebih sengit dan kompetitif, namun ia hanya mempunyai perkongsian pasaran 12 peratus di Malaysia dengan sejumlah 72,000 unit dijual pada 2016.

Ini berbanding jumlah unit yang dijual oleh pengeluar kereta global lain yang mencecah ratusan ribu dan sehingga jutaan unit setahun.

Datuk Seri Najib menambah, kerjasama dengan Geely ini akan turut memastikan tiada lagi duit rakyat digunakan untuk membantu Proton untuk ia kekal beroperasi.

"Proton sudah menemui rakan yang paling sesuai.

"Dengan memanfaatkan teknologi dan kepakaran Geely, Proton kini sudah bersedia untuk menghadapi cabaran mendatang," katanya pada majlis pemeterian perjanjian definitif antara DRB-Hicom dan Zhejiang Geely di sini hari ini.

Tegasnya, perjanjian pelaburan asing sehingga hilang kedaulatan, tidak akan berlaku di bawah pengawasannya.

Kedua syarikat turut menandatangani perjanjian muktama susulan daripada pengumuman kerjasama strategik pada Mei lepas.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (lima, kanan) bergambar dengan kenderaan Boyue buatan Geely selepas menyaksikan Majlis menandatangani Dokumen Persefahaman (MoU) di antara DRB-HICOM Berhad dan Zheijiang Geely Holding Group di sebuah hotel hari ini. - Foto Bernama
Menurut Datuk Seri Syed Faisal, perjanjian berkenaan akan menyaksikan 7 komitmen utama kedua pihak.

Ini termasuk akses kepada platform dan teknologi Geely, akses pasaran bagi Proton ke dalam pasaran China dan menjadikan pusat kecemerlangan Proton sebagai antara pusat kecemerlangan global Geely.

Dalam masa yang sama Proton akan turut menjadi pengeluar utama model dengan panduan sebelah kanan, akses kepada pembekal Malaysia untuk membekal kepada syarikat dimiliki Geely termasuk Volvo, pengeluaran jenama Volvo di Tanjung Malik jika ada lebihan kapasiti dan pemindahan teknologi dan modal insan menerusi pusat R&D di serata dunia.

"Kilang Proton di Tanjung Malim diberikan peluang untuk memasang kereta Volvo jika ada kapasiti," katanya.

Transaksi berkenaan akan bernilai RM460 juta, dengan RM290 juta adalah untuk model Geely Boyue dan tunai sebanyak RM170 juta.

Menurut Li Shufu, sasaran utama kerjasama ini adalah untuk memastikan kedua syarikat, Proton dan Lotus, mencapai keuntungan dan membolehkannya meningkatkan teknologi kepada kenderaan elektrik dan pandu sendiri.

Dalam masa yang sama kedua syarikat akan turut diberikan kuasa autonomi untuk menguruskan perniagaan masing masing dengan pengurusan yang lebih baik.

DRB-HICOM mengumumkan perjanjian dengan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd yang berpangkalan di China bagi membolehkan syarikat tersebut membeli 49.9 peratus pegangan dalam Proton, pada akhir Mei.

Perjanjian itu akan membolehkan Proton memanfaatkan platform meluas dan rangkaian kuasa Geely Holding serta membuka peluang Proton untuk mempunyai akses ke pasaran sedia ada pengeluar kereta China itu.

Geely, yang juga pemilik Volvo Car Corporation dan The London Taxi Company, adalah antara pengeluar kereta penumpang utama di China.