Skip to main content

Dunia

Pengunduran penuh Israel kekal keutamaan nasional - Presiden Lubnan

71761834879_josephaoun.jpg
Aoun berkata rundingan dengan Israel “bukan satu bentuk konsesi atau penyerahan diri”, sebaliknya mencerminkan usaha Lubnan menegaskan hak kedaulatannya. - Gambar fail

ISTANBUL: Presiden Lubnan Joseph Aoun pada Isnin berkata usaha memastikan pengunduran penuh Israel dari wilayah Lubnan kekal sebagai keutamaan nasional, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik media kerajaan.

“Laluan ke arah pengunduran penuh Israel kekal sebagai tuntutan nasional yang teguh, yang sedang diusahakan negara Lubnan untuk dicapai melalui rundingan,” kata Aoun dalam kenyataan yang disiarkan Agensi Berita Nasional (NNA) milik kerajaan Lubnan.

Kenyataan itu dibuat ketika Lubnan memperingati Hari Penentangan dan Pembebasan, bagi mengenang pengunduran Israel dari selatan Lubnan pada 2000 selepas 22 tahun pendudukan.

Aoun berkata rundingan dengan Israel “bukan satu bentuk konsesi atau penyerahan diri”, sebaliknya mencerminkan usaha Lubnan menegaskan hak kedaulatannya untuk melindungi wilayah melalui institusi ketenteraan dan keselamatan negara itu.

Beirut dan Tel Aviv mengadakan tiga pusingan rundingan langsung dengan pengantaraan Amerika Syarikat sejak pertengahan April dalam usaha mewujudkan aturan damai yang berkekalan.

Meskipun gencatan senjata berkuat kuasa pada 17 April dan kemudian dilanjutkan hingga awal Julai, operasi ketenteraan Israel masih berterusan di selatan Lubnan.

Menurut pegawai Lubnan, lebih 3,100 orang terbunuh, lebih 9,500 cedera dan kira-kira 1.6 juta hilang tempat tinggal akibat serangan Israel di Lubnan sejak 2 Mac, ketika konflik berterusan membabitkan Israel dan Hizbullah.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement