KUALA LUMPUR: DRB-Hicom Bhd (DRB-Hicom) kembali pulih pada tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2022 dengan mencatatkan keuntungan bersih RM187.71 juta berbanding kerugian bersih RM296.42 juta setahun lepas.

Hasil untuk tahun kewangan 2022 meningkat 25.3 peratus kepada RM15.51 bilion daripada RM12.38 bilion sebelumnya, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Sementara itu, DRB-Hicom dalam satu kenyataan berasingan kepada Bursa Malaysia berkata tiga sektor yang menyumbang kepada pertumbuhan hasil positif itu ialah automotif, aeroangkasa dan pertahanan serta sektor perbankan.

Ia berkata peningkatan dalam permintaan automotif yang didorong oleh 'cuti cukai jualan' oleh kerajaan meningkatkan hasil untuk Proton dan jenama lain di DRB-HICOM telah membantu melonjakkan hasil lebih daripada 35.2 peratus.

Sektor aeroangkasa dan pertahanan mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 41 peratus disebabkan penghantaran produk mereka yang lebih tinggi manakala unit aeroangkasa mendapat manfaat daripada penyambungan semula penerbangan komersial global berikutan sekatan perjalanan yang dikuatkuasakan akibat pandemik COVID-19.

Bagi sektor perbankan, hasil meningkat 13.7 peratus pada tahun kewangan ;2022 berbanding tahun kewangan 2021, terutamanya disumbangkan oleh pendapatan dan volum pembiayaan yang lebih tinggi daripada pembiayaan hartanah dan peribadi kepada pelanggan, katanya.

Mengenai prospek, DRB-Hicom berkata prestasinya untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2023 dijangka kekal positif. - BERNAMA