DRB-Hicom Bhd menjelaskan bahawa keutamaannya kini adalah merumuskan pelan perniagaan yang mantap untuk syarikat pembuat kereta nasional, Proton Holdings Bhd (Proton).

Syarikat itu juga berkata, pihaknya dan Zhejiang Geely Holding Group masih dalam proses memuktamadkan butiran transaksi secara terperinci.

"Keutamaan bagi kedua-dua pihak pada masa ini, sebagai sebahagian daripada Perjanjian Muktamad yang telah ditandatangani pada 23 Jun, adalah untuk merumuskan pelan perniagaan yang mantap bagi memastikan Proton berada di kedudukan yang kukuh ketika ia memulakan era baharu dalam industri automotif," menurut DRB-Hicom dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

BACA: Spekulasi Proton lantik CEO dari China tidak benar - sumber dalaman

Syarikat itu mengulas pelbagai laporan media mengenai perubahan kakitangan utama di Proton Holdings.

Bagaimanapun, DRB-Hicom berkata sebarang perkembangan penting berkaitan akan diumumkan kelak.

Geely membeli 49.9 peratus pegangan dalam Proton selain membeli saham majoriti 51 peratus dalam Lotus Advance Technologies Sdn Bhd daripada Proton.

Semasa pengambilalihan tersebut, Pengerusi Geely, Li Shufu berkata keutamaan syarikat itu adalah untuk memulihkan semula Proton.


Beberapa media tempatan melaporkan bahawa Li Chunrong, yang diambil bekerja oleh Geely pada bulan lepas, dikatakan akan menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

Ia tersebar luas selepas agensi berita China, Xinhua, melaporkan, Li Chunrong, yang merupakan Timbalan Pengurus Besar di Dongfeng Honda Engine Co, dipilih oleh Geely untuk menyelia operasi Proton.

-- BERNAMA