IPOH: Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak sebulat suara meluluskan Belanjawan Negeri 2023 yang memperuntukkan RM1.19 billion pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini pada Rabu.

Belanjawan itu telah dibahaskan seramai 24 ADUN daripada blok kerajaan dan pembangkang sepanjang sesi yang berlangsung selama tiga hari sejak Isnin.

Pada petang Khamis lalu,  Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad telah membentangkan Belanjawan Negeri Perak 2023 yang bertemakan ‘Perak Makmur, Rakyat Sejahtera’ .

Ia menggariskan lima fokus utama iaitu Kesejahteraan Rakyat; Tadbir Urus Projek Berkepentingan Negeri; Kelestarian Alam Sekitar; Keterjaminan Bekalan Makanan serta, Pembangunan Modal Insan dan Belia.

Saarani berkata daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM395 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan manakala perbelanjaan mengurus bernilai RM794 juta.

Ketika sesi penggulungan belanjawan, Saarani mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) pada kadar satu setengah bulan gaji atau minimum RM2,000 turut diberikan kepada semua pegawai dan kakitangan pejabat Exco pada penggal lalu.

Katanya, perkara itu diputuskan selepas melihat kemampuan semasa kerajaan negeri selain ia juga hasil perbincangan dengan  Bahagian Pengurusan Sumber Manusia dan Pejabat Kewangan Kerajaan Negeri.

Dalam perkembangan sama, Saarani turut menjelaskan pemberian RM600,000 kepada pelari pecut negara kelahiran Perak, Muhammad Azeem Fahmi adalah bagi tujuan pembiayaan pengajiannya di Universiti Auburn di Amerika Syarikat.

“Ia bukan pemberian sebagai anugerah kemenangan, ia diberi kerana beliau telah mendapat tempat pengajian di universiti di Amerika Syarikat yang mana terdapat kemudahan untuk dia berlatih sebagai pelari pecut.

“Jadi kita membantu membiayai pengajiannya di situ. Jumlah ini adalah untuk kegunaan sepanjang tempoh pembelajaran beliau yang minimumnya selama tiga tahun.

“Sebab jika Kerajaan Negeri Perak tidak membiayai, ada orang lain yang sanggup untuk membiayainya dan mereka akan ‘mengambil’ hero kita untuk menjadi hero dia,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Belanjawan Perak 2023 di Bangunan Perak Darul Ridzuan dekat sini pada Rabu.