PHNOM PENH: Duta Besar Malaysia ke Kemboja, Shaharuddin Onn menggesa negara itu supaya memanfaatkan infrastruktur, kepakaran dan rangkaian promosi perdagangan halal Malaysia untuk membangunkan industri halalnya sendiri.
Beliau berkata, Malaysia telah lama diiktiraf sebagai model global bagi pembangunan ekonomi halal dan menduduki tempat pertama dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global untuk tahun ke-12 berturut-turut.
"Malaysia mengambil masa bertahun-tahun untuk membina ekosistem halalnya, daripada standard dan pensijilan hingga pembangunan industri, promosi perdagangan, kewangan dan akses pasaran antarabangsa.
Saya percaya bahawa secara bersama, kita boleh bekerjasama dengan menggabungkan aspirasi Kemboja dan pengalaman Malaysia untuk membina rantaian nilai halal serantau yang berdaya saing tinggi," katanya pada "Forum Halal Malaysia-Kemboja: Membuka Peluang dalam Ekonomi Halal Global" pada Selasa.
Ekonomi halal antarabangsa pada masa ini dianggarkan mempunyai nilai pasaran pengguna AS$3.5 trilion (RM14 trilion) dan diunjurkan mencecah AS$5 trilion (RM20 trilion) menjelang 2030.
Kemboja, yang kaya dengan tanah pertanian, sedang mempelbagaikan ekonominya dengan meneroka sektor makanan halal dan pelancongan mesra Muslim, bertujuan mendapatkan bahagian daripada ekonomi halal global yang berkembang pesat.
Bahan mentah melimpah-ruah di Kemboja. Kacang gajus, ubi kayu, pisang, gula kabung, beras dan mangga kini menembusi pasaran global, dan setiap satu boleh menjadi asas bagi makanan terproses dan makanan ringan.
Syarikat tempatan seperti Lyly Food Industry Co Ltd dan Leang Leng Sauce Co Ltd sudah mula menyedari peluang ini dan memperluas rangkaian produk halal mereka untuk memenuhi permintaan tempatan yang kian meningkat.
"Forum Halal ini merupakan sebahagian daripada usaha kami untuk terus memperkukuh kerjasama dengan Kemboja. Matlamat kami adalah untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran kami dengan anda dalam pembangunan ekonomi halal," kata Shaharuddin.
Presiden Dewan Perniagaan Malaysia di Kemboja (MBCC), Tan Khee Meng berkata, Kemboja merupakan rakan kongsi ideal bagi pengeluar Malaysia disebabkan dasar perdagangan dan infrastruktur utamanya.
"Kemboja adalah calon yang sesuai untuk perniagaan Malaysia dan pengeluar halal Malaysia.
Anda boleh menjalankan pengeluaran di sini dan mengeksport ke pasaran lain. Kemboja mempunyai tenaga kerja demografi muda dan kos rendah, serta kumpulan berpendapatan sederhana yang kian berkembang," kata Tan.
Bercakap kepada Bernama di luar acara itu, Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Siti Ayisah Surif berkata, agensi itu boleh memainkan peranan penting dalam pembinaan keupayaan bagi sektor halal Kemboja.
"JAKIM telah menyediakan latihan dan terlibat dalam beberapa mesyuarat selama ini. Kami kekal komited untuk menyokong Badan Pensijilan Halal Luar Negara dengan menyediakan maklumat, panduan dan bantuan yang diperlukan apabila diminta," katanya.
Tahun lepas, jumlah perdagangan dua hala Malaysia dan Kemboja melepasi paras satu bilion dolar buat kali pertama, menandakan trajektori perdagangan yang kukuh.
Bagi separuh pertama 2026, perdagangan dua hala melonjak 51.1 peratus kepada AS$833 juta (RM3.4 bilion), berbanding AS$501 juta (RM2.05 bilion) dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Forum sehari itu dianjurkan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh, dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Ho Chi Minh City, JAKIM dan MBCC.
-- BERNAMA