KUALA LUMPUR: Program Online Onboarding Coaching Programme (E- Board) Kohort 2 Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) merekodkan kecemerlangan dengan pencapaian 32.70 peratus purata peningkatan jualan.

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin,  keberkesanan program itu membuktikan penggunaan platform digital dalam perniagaan amat penting serta menjadi keperluan untuk usahawan menguasainya agar dapat membantu menjana ekonomi negara yang optimum.

"Justeru, usahawan digesa untuk beralih ke arah ekonomi digital dan segera mendapatkan bantuan dari agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi seperti INSKEN yang menawarkan pelbagai program latihan serta bimbingan khususnya bagi topik pendigitalan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Seramai 208 usahawan yang telah memberi komitmen sepenuhnya serta berjaya menamatkan program bimbingan selama 4 bulan diraikan hari ini melalui Majlis Graduasi Online Onboarding Coaching Programme (E-Board) Kohort 2 tahun 2020.

Pencapaian paling memberangsangkan yang dicatat adalah 4,467.25 peratus peningkatan jualan oleh seorang usahawan daripada industri pembuatan dan pertukangan.

Manakala 40 peratus daripada 208 peserta E-Board Kohort 2 telah mencapai sasaran minima peningkatan jualan sebanyak 20 peratus.

Tambah Mas Ermieyati, usahawan yang dicipta melalui program E-Board perlu dijadikan sumber inspirasi buat usahawan lain untuk berubah ke tahap yang lebih baik dan meningkatkan daya tahan di dalam industri perniagaan yang kian mencabar.

Antara contoh usahawan berjaya adalah pemilik Dr. Kayu Network, Nur Liyana Che Md Azim yang hampir berputus asa dan berhasrat untuk menutup perniagaannya akibat terkesan oleh pandemik COVID-19.

Namun, hasratnya terbatal apabila peningkatan jualan terhasil ketika mengikuti program E-Board anjuran INSKEN.

Lebih menggembirakan apabila beliau turut mencatatkan peningkatan jualan tertinggi iaitu daripada jualan hanya tiga angka, kepada lima angka atau 4,467.25 peratus lonjakan selepas tamat program.

Selain itu, usahawan yang menjual produk buatan kayu seperti jam dinding ini turut menambah tiga buah mesin baharu bagi memenuhi permintaan pelanggan yang kian meningkat selepas produknya dipasarkan melalui platform Facebook.

Selain itu, pemilik Harfina Services, Muhammad Hariz yang merupakan usahawan dalam industri percetakan, beliau mula menerima lebih banyak permintaan melalui WhatsApp setelah mengikuti program E-Board.

Di penghujung bulan Februari 2021, peningkatan jualan sebanyak 1,730.14 peratus berjaya dicipta dan sekali gus menjadikan purata hasil jualan bulanan meningkat kepada ribuan ringgit.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin turut menyatakan bahawa lebih banyak usahawan akan dibantu serta diberi bimbingan komprehensif untuk meningkatkan jualan melalui platform digital.

Namun tanggungjawab itu katanya perlu digalas oleh kedua-dua pihak iaitu INSKEN dan usahawan sendiri yang perlu memberi komitmen sepenuhnya dalam membuat transformasi perniagaan.

Program E-Board Kohort 2 yang dilaksanakan dari November 2020 sehingga Februari 2021 telah mendapat penyertaan tinggi dari usahawan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur dengan pecahan peserta lelaki seramai 80 individu (38 peratus) dan 128 wanita (62 peratus) dari dua industri iaitu perkhidmatan (67 peratus) dan pembuatan (33 peratus).

Inisiatif penganjuran program E-Board sejajar dengan saranan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dengan memberi fokus untuk memperkukuhkan kemampuan dan kapasiti usahawan mikro, kecil dan sederhana dalam pengunaan platform secara atas talian.

E-Board merupakan sebuah inisiatif untuk melatih serta membimbing usahawan menggunakan platform daam talian dan e-dagang dalam menjual dan memasarkan produk serta perkhidmatan.

Program selama 4 bulan ini menggunakan kaedah ‘technical training-intensive coaching’ oleh pakar jurulatih pendigitalan dalam platform-platform atas talian yang telah ditetapkan melalui  bimbingan secara hand-holding.

Tujuh platform yang disediakan adalah Facebook, Instagram, YouTube, WhatsApp, Telegram dan bagi tahun 2021, penambahan platform Shopee dan Lazada.

Kohort 3 dan 4 program ini sedang dijalankan dan 200 usahawan dilatih untuk meningkatkan hasil jualan melalui platform secara atas talian. Manakala kohort 5 program juga telah dibuka untuk pendaftaran.