JAKARTA: Ekonomi Asia-Pasifik dijangka meningkat dalam jangka pendek dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjurkan berkembang sebanyak 3.1 peratus tahun ini daripada 2.6 peratus pada 2022.

Menurut Unit Sokongan Dasar APEC, peluang pertumbuhan adalah daripada peningkatan dalam penggunaan swasta, sokongan fiskal yang disasarkan dan pembukaan semula sempadan dan perniagaan.

Manakala bagi risiko penurunan seperti inflasi, kadar faedah dan hutang yang lebih tinggi, pengurangan pelaburan, isu geopolitik dan gelombang baharu COVID-19 terus menjejaskan pemulihan tetapi ia telah menjadi sederhana, katanya dalam satu laporan.

Mengenai pertumbuhan perdagangan APEC, pengarah unit itu, Carlos Kuriyama dalam satu kenyataan hari ini, berkata yang beliau menjangkakan, "pertumbuhan sederhana bagi jumlah perdagangan tahun ini berikutan kelembapan dalam permintaan global."

Jumlah eksport barangan APEC mendatar dalam tempoh sembilan bulan pertama 2022 dan import barangan meningkat sebanyak 4.3 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas, apabila ia masing-masing berkembang sebanyak 14.4 peratus dan 16.1 peratus.

Pegawai-pegawai dari 21 negara anggota APEC sedang bersidang di Palm Springs, California untuk memulakan kluster mesyuarat teknikal pertama APEC 2023.

Amerika Syarikat menjadi tuan rumah APEC tahun ini dan akan memacu agenda forum bertemakan "Mewujudkan Masa Depan Yang Berdaya Tahan dan Mampan bagi Semua."

Kuriyama berkata dengan mengambil kesempatan daripada mesyuarat yang akan datang di Palm Springs, ekonomi ahli organisasi itu harus mengutamakan usaha untuk menyelaraskan dasar yang jelas dan konsisten.

Beliau berkata dasar makroekonomi yang diselaraskan memainkan peranan penting dalam menangani peningkatan kos sara hidup.

"Selain itu, mengekalkan perdagangan bebas, adil dan terbuka serta meningkatkan kemudahan perdagangan boleh mengurangkan tekanan ke atas harga makanan dan tenaga dengan ketara, mengurangkan kesan buruk terhadap sekuriti makanan dan tahap kemiskinan," katanya.

-- BERNAMA