Ekonomi domestik yang berdaya tahan akan membantu mengekalkan momentum dagangan dalam aliran menaik di bursa tempatan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd Datuk Tajuddin Atan.

Beliau berkata walaupun penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI mencatat prestasi paling lemah dalam ASEAN tahun lepas, dengan mencatat penurunan 5.7 peratus tahun ke tahun, nilai purata dagangan harian pasaran sekuriti bagi dagangan pasaran meningkat tujuh peratus kepada RM2.05 bilion - segala-galanya hasil daripada penyertaan dagangan yang lebih tinggi oleh pelabur runcit dan institusi tempatan.

"Kami yakin trend ini akan bertahan. Berdasarkan kedudukan ekonomi yang berdaya tahan serta tersedianya inisiatif dasar yang tepat, arah tuju kita menepati sasaran," katanya kepada pemberita selepas taklimat keputusan tahun kewangan 2014 syarikat itu di sini hari ini.

Beliau berkata operator bursa saham tempatan itu juga sudah memulakan program capaian runcit bagi melibatkan, mendidik dan menambah penyertaan pelabur runcit, terutama dalam kalangan pelabur muda, selari usaha untuk membangunkan pasaran yang berdaya tahan.

Antara inisiatif utama ialah pelancaran BursaMarketplace, portal kewangan dalam talian pertama seumpamanya yang menyediakan akses kepada maklumat pasaran yang tepat dan berobjektif.

Beliau berkata pelabur asing, yang menjadi penjual bersih tahun lepas, kembali ke pasaran tempatan berikutan kedudukan nilai menarik yang ditawarkan oleh sektor korporat negara.

"Secara umumnya, dalam rantau ini, syarikat di Bursa Malaysia berjaya mengeluar dan berprestasi dengan agak baik. Kedudukan nilainya merupakan insentif untuk pelabur kembali ke dalam pasaran kita," katanya.

Tahun lepas, aliran keluaran bersih pelabur asing berjumlah RM6.88 bilion berbanding kemasukan bersih berjumlah RM2.57 bilion pada 2013.

Mengenai tawaran awam permulaan (IPO), Tajuddin berkata jumlah penyenaraian baharu tahun ini dijangkakan sama dengan tahun lepas, dengan 14 syarikat disenarai di Bursa Malaysia.

Beliau juga membayangkan beberapa penyenaraian baharu sudah pun diatur.

Dalam IPO tahun lepas, RM5.9 bilion dikumpulkan daripada pasaran ekuiti, susut berbanding RM8.2 bilion pada tahun sebelumnya disebabkan penyenaraian yang lebih rendah berbanding 18 pada 2013.