Ekonomi global berdepan risiko memperlahan sekali gus meningkatkan unjuran ketidaktentuan masa depan.

Menurut Ketua Pakar Ekonomi Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) Maurice Obesrfeld, IMF mengunjurkan pertumbuhan 2016 jatuh daripada 3.4 kepada 3.2 peratus.

Ini adalah susulan pertumbuhan perlahan China, harga komoditi lemah dan negara maju yang masih berdepan kesan krisis kewangan.

"Kita saksikan peningkatan ketidaktentuan kewangan pada bulan pertama tahun ini. Pasaran pulih dengan ketara, tetapi ketidaktentuan kewangan baharu kekal menjadi ancaman dan banyak ketidaktentuan bagi pertumbuhan," kata Maurice.

Tambahnya polisi kewangan ekonomi dunia yang diambil untuk menampan kesan aliran menurun dana dari pasaran membangun, penurunan mata wang dan peningkatan premium risiko hutang kerajaan telah terbukti berkesan.

"Kesemua negara ini boleh menaik taraf rangka kerja pemantauan mereka, mengukuhkan sistem kewangan, dan paling penting ia mengekalkan dasar fiskal pada landasan betul melalui pengekalan atau pengenalan pelan fiskal jangka sederhana," kata Maurice.

Beliau berkata China memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan global susulan saiz ekonomi yang besar.

"Pihak berkuasa China perlu merancang bersama negara besar lain. Mereka perlu berhubung secara jelas berkaitan dasar, terutama berkaitan pasaran kewangan, juga dalam isu lebih luas. Ini kerana China meletakkan program yang besar (reformasi)," katanya.

Beliau turut memuji usaha reformasi China ke arah sistem lebih telus dan terbuka.