BISNES
Ekonomi hijau: Amir Hamzah seru kerjasama berterusan kerajaan-swasta

Amir Hamzah berkata, kerajaan sememangnya mengiktiraf bahawa kemampanan dan keterangkuman mesti berjalan seiring. - Gambar Moganraj
KUALA LUMPUR: Sektor swasta perlu terus bekerjasama dengan kerajaan untuk bersama-sama membangunkan penyelesaian, memperluas inovasi dan membina ekonomi hijau yang berdaya saing bagi Malaysia, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata, kerajaan sememangnya mengiktiraf bahawa kemampanan dan keterangkuman mesti berjalan seiring.
"Bagaimanapun, kemampanan bukanlah tanggungjawab pada satu-satu kementerian atau sektor sahaja. Ia memerlukan pendekatan yang menyeluruh. Kerajaan, sektor swasta, masyarakat awam dan orang ramai mesti berganding bahu untuk merealisasikan visi ini," katanya dalam ucapan khas pada Anugerah ESG The Edge Malaysia, di sini, pada Rabu.
Amir Hamzah berkata, pada masa ini Kementerian Kewangan sedang merangka undang-undang bagi pelaksanaan cukai karbon -- yang menyasarkan sektor besi, keluli dan tenaga."Inisiatif ini direka dengan mengambil kira tahap kesiapsiagaan industri dan penjajaran kepada amalan terbaik global. Kami sedang menyesuaikan dengan piawaian antarabangsa dan berinteraksi bersama pemain-pemain industri untuk menentukan hala tuju terbaik," katanya.
Cukai karbon yang dicadangkan itu bertujuan memberi insentif kepada pemain-pemain industri menerima pakai penyelesaian yang mampan, sekali gus membolehkan penyedia penyelesaian mengembangkan dan menguruskan kos mereka dengan lebih berkesan dalam jangka masa panjang.
"Langkah ini akan membolehkan lebih banyak syarikat mendapatkan akses penyelesaian yang lebih hijau," kata Amir Hamzah.
Beliau mengakui, dalam hal ini akan terdapat cabaran jangka pendek kerana perniagaan perlu melabur dalam teknologi baharu untuk menyahkarbon atau menyemak semula proses bagi memenuhi piawaian yang semakin ketat berkaitan hak asasi manusia dan kebimbangan terhadap alam sekitar.
"Perjalanan ini akan menjadi satu usaha bersama kerana laluan ke arah masa depan yang mampan mestilah bersifat inklusif dan saksama," kata Amir Hamzah.
Malaysia pada awal tahun ini telah melancarkan pelan hala tuju untuk mencapai pelepasan sifar bersih karbon menjelang 2050 dan beberapa kementerian sedang giat mengusahakan pemboleh utama seperti rang undang-undang perubahan iklim, mekanisme penetapan harga karbon dan rangka kerja bagi menyokong ekonomi kitaran.
Beliau berkata, dasar-dasar ini mencerminkan usaha nasional yang lebih menyeluruh seperti yang terkandung dalam Rancangan Malaysia Ke-13 dan Kerangka Ekonomi MADANI.
"Tindakan kami ini termasuk pelaburan dalam pengangkutan awam, pemuliharaan sumber asli dan pengukuhan ekonomi hijau. Pada masa yang sama, kami turut mengutamakan pertumbuhan yang saksama, perumahan mampu milik dan pengenalan undang-undang untuk memastikan persekitaran kerja yang kondusif, di samping inisiatif yang lain," kata Amir Hamzah.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami