KUALA LUMPUR: Pelumba Moto3 Malaysia, Muhammad Hakim Danish Ramli menyifatkan penampilannya yang mengecewakan pada Grand Prix (GP) Hungary sebagai satu pengalaman berharga selepas perlumbaan berakhir dengan kemalangan pada pusingan pertama, semalam.
Pelumba berusia 18 tahun itu tiba di Litar Balaton Park dengan keyakinan tinggi selepas mencatat prestasi terbaik dalam kariernya apabila meraih podium Moto3 pertama pada GP Itali minggu sebelumnya.
“Sudah tentu saya sedikit kecewa kerana tidak dapat menamatkan perlumbaan selepas terjatuh pada pusingan awal berikutan insiden seorang pelumba melanggar saya dari belakang. Namun, itulah asam garam dalam dunia perlumbaan motosikal,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Hakim Danish berdepan kesukaran menyesuaikan diri dengan cabaran di Litar Balaton Park dalam penampilan pertamanya di litar tersebut.
Mewakili pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi, pelumba kelahiran Terengganu itu gagal mara ke sesi Kelayakan 2 (Q2) dan terpaksa memulakan perlumbaan dari petak ke-19.
“Masih banyak aspek perlu saya perbaiki, baik dari segi tunggangan mahupun pemahaman saya terhadap litar. Saya akan menjadikan pengalaman ini sebagai satu pengajaran berharga yang dapat membantu saya berkembang sebagai pelumba dan kembali dengan lebih kuat pada masa hadapan,” katanya.
Tumpuan Hakim Danish kini pada GP Republik Czech yang akan berlangsung di Automotodrom Brno dari 19 hingga 21 Jun, dan beliau berharap dapat bangkit semula dan kembali mengutip mata dalam perlumbaan.
Selepas lapan pusingan perlumbaan, Hakim Danish kini berada di kedudukan ke-10 dalam carta keseluruhan Moto3 dengan mengumpul 48 mata.
-- BERNAMA