Ekonomi Malaysia akan mula meningkat dan berkembang pada separuh kedua tahun ini selepas mencatat prestasi sederhana pada suku pertama, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Beliau berkata pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang menyederhana pada suku pertama mencerminkan aktiviti ekonomi yang lemah pada tempoh itu.

"Saya menjangkakan ekonomi akan meningkat pada separuh kedua, dipacu oleh dasar ekonomi kerajaan yang kukuh selain ketidaktentuan politik yang sudah berakhir," kata Abdul Wahid yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, bertanggungjawab bagi Unit Perancang Ekonomi (EPU), kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Nasional SSM di sini hari ini.

Minggu lepas, Bank Negara Malaysia mengumumkan KDNK Malaysia mengembang 4.1 peratus pada suku pertama tahun ini berikutan persekitaran luar yang lemah berbanding 5.1 peratus pada suku yang sama tahun lepas dan 6.5 peratus pada suku keempat 2012.

Abdul Wahid berkata pelan ekonomi kerajaan baharu merupakan pemacu ekonomi negara.

"Segmen Pelaburan Maybank mengunjurkan pertumbuhan kira-kira 5.3 peratus tahun ini dan kerajaan menjangkakan kira-kira lima hingga enam peratus. Saya yakin kita mampu mencatat antara angka-angka itu," katanya.

Abdul Wahid berkata beliau yakin Maybank Islamic akan menyumbang satu pertiga daripada pendapatan kumpulan Maybank.

"Kami menjangkakan segmen bank Islamic akan menyumbang lebih banyak dan merealisasikan sumbangan satu pertiga menjelang 2015," katanya dan menambah sumbangan semasa Maybank Islamik ialah kira-kira 30 peratus kepada pendapatan Kumpulan Maybank.

Beliau berkata perbankan Islam semakin berkembang, terutama di Malaysia.

Ditanya mengenai pelan penggantinya, Abdul Wahid berkata lembaga pengarah sedang berbincang untuk memilih calon menggantikannya.

"Saya percaya bank mempunyai pelan penggantian yang baik dan mereka mungkin memerlukan sedikit masa sebelum membuat pengumuman," katanya.

Abdul Wahid berkata beliau akan meletak jawatan sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif pada 4 Jun.

"Sebelum itu, biarlah saya menyelesaikan tugas saya di Maybank, yang akan menyiarkan keputusan kewangan suku pertama pada 23 Mei," katanya.

Abdul Wahid menyifatkan tanggungjawab baharunya sebagai menteri yang bertanggungjawab untuk EPU, sebagai tugas yang sangat mencabar.

"Saya gementar terhadap kedudukan baharu sebagai menteri, ini pejabat awam dengan tanggungjawab besar, namun saya bangga berkhidmat untuk negara," katanya.

"Ia merupakan cabaran besar dan saya akan berusaha yang terbaik," katanya.

Selepas mengetuai tiga syarikat korporat besar, UEM Builders Bhd, Telekom Malaysia Bhd dan Maybank, Abdul Wahid akan mengangkat sumpah jawatan sebagai senator pada 5 Jun, untuk memegang jawatan menteri.