KUALA LUMPUR: Berdasarkan kepada pendekatan perniagaan dan langkah konstruktif kerajaan serta sikap komuniti perniagaan dan rakyat, ekonomi Malaysia dijangka pulih dan membangun semula dengan lebih baik, malah lebih hijau, kata Pengerusi Majlis Penasihat Kelab Ekonomi Kuala Lumpur (ECKL) Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Abdul Wahid yang juga pengerusi Bursa Malaysia berkata pasaran modal negara telah pulih dengan ketara pada bulan Ogos 2021 dengan dana asing muncul sebagai pembeli bersih untuk pertama kalinya sejak Jun 2019 dengan aliran masuk bersih RM1.1 bilion.

Sementara itu, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 7.1 peratus bulan ke bulan untuk berakhir pada 1,601 mata pada bulan yang sama.

"Sentimen yang meningkat ini sebahagiannya disokong oleh keuntungan korporat yang berdaya tahan pada suku kedua 2021, meningkat 113 peratus tahun ke tahun dan tiga peratus suku ke suku berdasarkan penyelidikan Maybank," katanya ketika berucap pada majlis Sidang Kemuncak Pemulihan Negara yang berlangsung selama sehari, anjuran Institut Strategik KSI bagi Asia Pasifik hari ini.

Abdul Wahid berkata sentimen positif yang serupa turut dilihat di pasaran bon Malaysia dengan pegangan asing meningkat sebanyak RM6.6 bilion pada bulan Ogos 2021, menjadikan aliran masuk bersih setakat tahun ini kepada RM24.6 bilion.

Tahun lepas, prestasi Bursa Malaysia amat memberangsangkan, katanya sambil menambah jumlah perniagaan yang diukur dengan nilai purata perdagangan harian (ADV) meningkat dua kali ganda daripada RM1.9 bilion kepada RM4.2 bilion.

FBM KLCI meningkat 2.4 peratus kepada 1,627 mata pada tahun 2020, menjadikan ia pasaran berprestasi kedua terbaik di rantau ini.

"Momentum perniagaan berterusan hingga separuh pertama 2021 dengan ADV mengukuh kepada RM4.4 bilion. Tetapi dengan kes COVID-19 yang semakin meruncing dan pelaksanaan perintah kawalan yang berpanjang, FBM KLCI merosot sebanyak 5.8 peratus kepada 1,533 mata pada 30 Jun, 2021, menjadikan pasaran kita antara pasaran yang paling kurang berprestasi di rantau ini untuk separuh pertama 2021," kata Abdul Wahid.



Sementara itu ECKL, katanya menyambut baik pengumuman semalam mengenai Lembah Klang yang akan memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai esok,10 Sept.

"Memandangkan lebih banyak kegiatan ekonomi dibenarkan beroperasi secara berperingkat seiring dengan PPN, prospek untuk mencapai pertumbuhan empat peratus bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2021 kian nampak jelas," tambahnya.

PPN adalah hala tuju terdiri daripada empat fasa yang mencartakan jalan untuk negara kembali kepada keadaan biasa selepas berhadapan krisis kesihatan dan ekonomi akibat COVID-19.

Kejayaan pelaksanaannya bergantung kepada pendekatan seluruh negara dan masyarakat.

Sidang Kemuncak Pemulihan Negara ini diadakan bertujuan memberikan maklumat dan penjelasan lebih lanjut mengenai PPN serta mengumpulkan sokongan daripada perniagaan, masyarakat awam, kumpulan pemikir, pakar dan ahli akademik.

-- BERNAMA