KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia dijangka berkembang antara 4.0 peratus dan 5.0 peratus pada 2024, mendapat rangsangan daripada perbelanjaan domestik dan pelaburan langsung asing (FDI), demikian menurut Interpacific Asset Management.

Ketua ahli ekonomi dan pengurus dananya Datuk Nazri Khan berkata usaha gigih secara berterusan kerajaan sekarang membawa masuk lebih banyak pelaburan asing juga merupakan petunjuk peningkatan keyakinan pelabur global terhadap Malaysia yang memberi prospek baik kepada pasaran domestik.

Beliau berkata kerajaan terus komited dalam usaha pembaharuan ekonominya untuk menarik pelaburan bernilai tinggi melalui pelan tindakan dan inisiatif pemangkin di bawah kerangka ekonomi MADANI, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP).

"Antara sektor yang akan mendapat manfaat daripada strategi ini adalah sektor pembinaan apabila kerajaan memperuntukkan RM72.3 bilion bagi pengangkutan, air dan tenaga.

"Sementara itu, sektor teknologi di Malaysia juga dijangka terus berkembang dengan Program Ekonomi Digital Kebangsaan (NDEP) dan penggunaan 5G di Malaysia," katanya kepada Bernama.

Mengenai inflasi, Nazri menjangkakan kos barang dan produk naik sedikit berikutan rasionalisasi subsidi yang boleh membawa impak kepada inflasi.

"Bagaimanapun, kami tidak menjangkakan kadar inflasi bergerak ke arah paras kemuncak seperti pada Ogos 2022 sekitar 4.5 peratus hingga 4.7 peratus.

"Dengan kadar inflasi di Malaysia stabil pada 2.0 peratus selepas paras pada Ogos 2022, kami tidak menjangkakan sebarang perubahan kepada kadar dasar semalaman (OPR) bagi 2024," katanya.

Dengan kedudukan kadar inflasi yang lebih rendah ketika ini, Nazri berkata Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan pendekatan monetari yang neutral bagi 2024.

Beliau berkata bank pusat tidak akan kekal statik dalam keputusannya sekiranya landskap berubah dan beliau percaya strategi tunggu dan lihat akan dilaksanakan sebelum sebarang keputusan boleh dicapai secara khusus mengenai OPR.

"Kami berpandangan OPR akan dikekalkan sepanjang 2024 kerana bank pusat telah mengekalkan pendirian neutral terhadap dasarnya dalam beberapa mesyuarat monetari yang lepas.

"Ini adalah petunjuk bahawa BNM mungkin berada di kedudukan yang baik untuk mengekalkan OPR pada 3.0 peratus," katanya.

-- BERNAMA