BISNES
EU pertimbang ganti WTO

WTO telah berdepan masalah selama bertahun-tahun akibat peningkatan dasar perlindungan, peraturan yang lapuk dan sekatan ke atas badan rayuannya. - Gambar/ Reuters
BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) sedang mempertimbangkan pengganti kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang kini hampir lumpuh, menurut kenyataan Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen dan Canselor Jerman Friedrich Merz, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Ringkasan AI
- Kesatuan Eropah sedang mempertimbangkan pengganti kepada WTO yang kini hampir lumpuh, dengan cadangan reka bentuk semula organisasi perdagangan global oleh Ursula von der Leyen dan Friedrich Merz.
- Merz mencadangkan penubuhan mekanisme penyelesaian pertikaian baharu untuk perjanjian perdagangan EU, dan telah berbincang dengan pemimpin Perancis dan Britain mengenai idea tersebut.
- WTO berdepan masalah berpanjangan termasuk dasar perlindungan dan badan rayuan yang tidak berfungsi, manakala kerjasama antara CPTPP dan EU dicadangkan sebagai titik permulaan untuk reformasi sistem perdagangan global.
Pemimpin Jerman itu merujuk kepada mekanisme penyelesaian pertikaian perdagangan, sambil menyatakan Suruhanjaya Eropah boleh membangunkan mekanisme sedemikian untuk perjanjian perdagangan baharu EU. Merz memaklumkan beliau telah berbincang mengenai idea itu dengan Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Perdana Menteri Britain Keir Starmer.
"Ini adalah idea yang masih di peringkat awal," katanya. "Tetapi jika WTO terus berfungsi secara tidak berkesan seperti beberapa tahun kebelakangan ini, kita sebagai pihak yang masih percaya pada perdagangan bebas perlu merangka sesuatu alternatif."
Von der Leyen mencadangkan kerjasama antara Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dengan Kesatuan Eropah boleh menjadi titik permulaan untuk reka bentuk semula WTO yang kini mempunyai lebih 166 negara anggota.
"Sudah tentu, kita perlu memahami apa yang perlu diperbaiki dalam WTO," tambahnya. Ini dapat menunjukkan kepada dunia bahawa "perdagangan bebas dengan sebilangan besar negara boleh dicapai berdasarkan sistem berasaskan peraturan."
WTO telah berdepan masalah selama bertahun-tahun akibat peningkatan dasar perlindungan, peraturan yang lapuk dan sekatan ke atas badan rayuannya. Usaha reformasi setakat ini gagal kerana tiada kata sepakat dalam kalangan anggotanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami